Pencapaian UniSIRAJ Perkukuh Ekosistem Penyelidikan Pada 2025

Pencapaian UniSIRAJ Perkukuh Ekosistem Penyelidikan Pada 2025

KANGAR, 10 Okt (Bernama) — Pencapaian Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) sepanjang tahun lepas mencerminkan perkembangan positif dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan menerusi peluasan kolaborasi strategik, pengiktirafan kepakaran serta penghasilan penyelidikan yang memberi manfaat kepada institusi dan masyarakat.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Canselor UniSIRAJ, bertitah antara pencapaian utama universiti itu ialah pelaksanaan lapan kolaborasi penyelidikan antarabangsa dan empat kolaborasi strategik di peringkat kebangsaan.

“Lapan kolaborasi penyelidikan antarabangsa itu khususnya melibatkan universiti di Indonesia, termasuk Universitas Muhammadiyah Makassar (UNISMUH) serta institusi pengajian tinggi di Palopo dan Tangerang.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
“Kerjasama ini membuka ruang kepada pertukaran kepakaran, perkongsian ilmu dan pelaksanaan penyelidikan bersama, sekali gus memperluas jaringan akademik UniSIRAJ di peringkat antarabangsa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat melawat Makam Amir Temur (Gur-e-Amir) di Samarkand, Uzbekistan, menurut kenyataan Istana Arau hari ini.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Baginda bertitah UniSIRAJ turut merekodkan empat kolaborasi strategik di peringkat kebangsaan dengan rakan akademik dan institusi, antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Menurut baginda, jaringan berkenaan memperkukuh hubungan universiti dengan institusi pengajian tinggi dan pemegang taruh dalam usaha memajukan penyelidikan serta pembangunan ilmu.

Keupayaan UniSIRAJ menterjemahkan kepakaran akademik kepada penyelesaian praktikal turut dibuktikan menerusi pemerolehan projek penyelidikan iFatwa bernilai RM220,000 bersama Jabatan Mufti Negeri Perlis.

“Pencapaian ini mencerminkan keupayaan universiti menghasilkan penyelidikan yang memenuhi keperluan institusi dan masyarakat, di samping menghubungkan kepakaran akademik dengan aplikasi sebenar,” titah baginda.

Dari aspek pengiktirafan, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah warga UniSIRAJ meraih empat anugerah utama, merangkumi Anugerah Pembentang Terbaik, Kertas Kerja Terbaik, Anugerah Inovasi dan Anugerah Buku Negara.

Baginda bertitah pencapaian itu memperlihatkan mutu hasil kerja akademik dan penyelidikan universiti berkenaan, selain keupayaan warganya menyumbang dalam pelbagai bidang kepakaran.

“Pengiktirafan terhadap kepakaran warga UniSIRAJ turut terserlah menerusi pelantikan dalam pelbagai peranan profesional, termasuk sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis, Panel Syariah Jabatan Mufti dan Ahli Lembaga Penasihat Pendidikan Agama Islam, selain penglibatan dalam bidang penterjemahan.

“Kepercayaan ini mencerminkan sumbangan kepakaran warga universiti dalam menyokong institusi serta pembangunan ilmu dan masyarakat,” titah baginda.

Secara keseluruhannya, baginda bertitah pencapaian sepanjang tahun lepas membuktikan komitmen UniSIRAJ, milik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan secara menyeluruh, daripada penghasilan penerbitan dan inovasi hingga peluasan kolaborasi serta pengiktirafan kepakaran.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan penyelidikan universiti bukan sahaja menghasilkan ilmu baharu, malah dapat dimanfaatkan melalui kerjasama strategik dan penyelesaian yang memenuhi keperluan sebenar masyarakat,” titah Raja Muda Perlis.

— BERNAMA

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content