ASHKENT, 11 Okt – Rakyat Malaysia yang berkunjung ke Uzbekistan diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang tempatan, termasuk peraturan pendaftaran tempat tinggal sementara dan had lawatan selama 30 hari yang dibenarkan tanpa visa.
Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan, Rafeedah Abdul Aziz berkata, kemudahan kemasukan tanpa visa itu tidak boleh disalahgunakan bagi tujuan selain lawatan sosial.
Menurutnya, setakat ini seramai 30 rakyat Malaysia berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tashkent, termasuk tiga pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat universiti di Samarkand.
“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan memaklumkan perjalanan mereka ke Uzbekistan menerusi aplikasi My World Alert dan menghubungi Malawakil Tashkent sekiranya terlibat dalam isu kecemasan atau luar jangka yang memerlukan nasihat dan bantuan konsular,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil melawat venue sesi latihan Piala Dunia Renang Akuatik Sedunia 2026 Pusingan Kedua di Pusat Akuatik Bandar Olimpik, Tashkent, baru-baru ini.
Lawatan berkenaan berlangsung selepas keberangkatan tiba pasangan diraja itu dari Samarkand sebelum berangkat pulang ke tanah air.
Keberangkatan baginda berdua disambut Setiausaha Agung Jawatankuasa Penganjur, Ruslan Mustayev bersama Ahli Jawatankuasanya, Nigorakhon Umurzakova.
Turut berangkat ialah anakanda puteri kedua baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Mengulas lanjut, Rafeedah berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Tashkent komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia yang berada di Uzbekistan, khususnya dalam urusan konsular dan imigresen.
Katanya, perkhidmatan berkenaan tertakluk kepada peraturan antarabangsa serta undang-undang tempatan yang sedang berkuat kuasa.
Beliau turut menggalakkan rakyat Malaysia mengikuti perkembangan dan hebahan rasmi kedutaan dari semasa ke semasa menerusi laman web serta platform media sosialnya.
Antaranya Facebook Embassy of Malaysia in Tashkent, Uzbekistan dan Instagram @myembtashkent.
Sementara itu, kejohanan Piala Dunia Renang Akuatik Sedunia 2026 Pusingan Kedua di Tashkent merupakan sebahagian daripada tiga siri Jelajah Laluan Sutera yang bermula di Baku, Azerbaijan sebelum berakhir di Astana, Kazakhstan.
Pusat Akuatik Bandar Olimpik Tashkent pula merupakan sebahagian daripada kompleks sukan moden Uzbekistan yang dibangunkan bagi menyokong latihan atlet serta penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa.
Kemudahan itu turut memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan renang, terjun dan pelbagai disiplin akuatik lain di negara berkenaan.
– SUARA MERDEKA