Pendidikan Perlis Perlu Bergerak Seiring Keperluan Industri, Titah Raja Muda

Pendidikan Perlis Perlu Bergerak Seiring Keperluan Industri, Titah Raja Muda

KANGAR, 2 Jun – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar sistem pendidikan di negeri ini terus diperkasakan secara menyeluruh bagi memastikan ia seiring dengan keperluan semasa dan perkembangan ekonomi masa hadapan.

Baginda menegaskan bahawa agenda pendidikan tidak lagi boleh tertumpu kepada penguasaan literasi asas semata-mata, sebaliknya perlu memberi penekanan kepada pengukuhan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), politeknik serta universiti tempatan.

Menurut baginda, pendekatan tersebut penting bagi melahirkan modal insan yang bukan sahaja memiliki asas teori yang kukuh, malah mempunyai kemahiran praktikal yang memenuhi kehendak industri.

“Perubahan landskap ekonomi menuntut generasi muda memiliki kemahiran yang lebih tinggi dan relevan. Kebergantungan kepada kemahiran asas sahaja tidak lagi mencukupi untuk menjamin kebolehpasaran mereka pada masa hadapan.

“Institusi TVET dan universiti perlu menjadi paksi utama dalam melahirkan modal insan yang kompeten, berdaya saing serta mempunyai mentaliti kelas pertama,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kampung Sempering dekat sini baru-baru ini.

Tuanku Syed Faizuddin turut menyeru semua pihak berkepentingan termasuk sektor industri, institusi pendidikan dan komuniti agar berganding bahu membangunkan ekosistem pendidikan yang mampan demi kemakmuran negeri Perlis pada masa depan.

Program kayuhan amal tersebut bukan sahaja bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform mendekati rakyat dan menyantuni golongan memerlukan secara berterusan.

Sempena program itu, baginda berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada tiga penerima terpilih iaitu Azmeerizi Mahmun, 47, dari Jalan Santan, Kampung Sempering; Aidihermi Abdul Samat, 49, dari Kampung Masjid Lama Sempering; dan Azizan Hamid, 65, dari Kampung Sempering.

Dalam lawatan sama, baginda turut berkenan mengunjungi The Kitchen Studio Event Space di Jalan Santan.

Premis berkenaan merupakan dewan acara tertutup serbaguna berkonsepkan studio yang pertama seumpamanya di Perlis, menawarkan kemudahan moden dan selesa untuk pelbagai majlis komuniti, keluarga, korporat serta institusi pendidikan.

Dilengkapi sistem pendingin hawa dan reka bentuk kontemporari, lokasi itu menjadi antara pilihan bagi penganjuran majlis akad nikah, resepsi perkahwinan, seminar perniagaan, mesyuarat rasmi, program universiti dan pelbagai acara berskala kecil hingga sederhana.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.