KANGAR, 6 Februari 2026 (Bernama) – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah kerajaan negeri diharap terus istiqamah dalam memperkasa penghayatan al-Quran sebagai teras pembinaan ummah demi melahirkan umat Islam yang berjati diri serta berteraskan nilai rabbani.
Baginda bertitah, al-Quran terpelihara keasliannya hingga hari kiamat dan menjadi asas pembentukan Insan Rabbani Bestari yang berpaksikan kebenaran mutlak.
“Al-Quran mengandungi mukjizat tauhid, antaranya melalui Surah al-Ikhlas yang menegaskan keagungan Allah SWT sebagai asas pembentukan peribadi rabbani.“Selain itu, al-Quran juga merupakan perlembagaan agung yang bersifat sejagat, membimbing umat Islam dalam mengurus kehidupan serta mentadbir masyarakat secara adil, berintegriti dan berhikmah,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan majlis penutup dan pengurniaan hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran 2026/1447H peringkat negeri di Dewan Warisan, Kangar, malam tadi.
Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Sirajuddin turut bertitah bahawa mukjizat sains dan alam yang terkandung dalam al-Quran membuktikan Islam menjunjung keunggulan ilmu, sekali gus mengilhamkan manusia supaya berfikir, mengkaji serta mentadbir alam berlandaskan syariat Allah SWT.
“Oleh yang demikian, marilah kita menjadikan majlis ini sebagai titik tolak untuk membudayakan interaksi dengan al-Quran secara istiqamah, khususnya dalam menyambut Ramadan yang bakal tiba melalui pemantapan bacaan serta tadabbur,” titah baginda.
Pada majlis tersebut, Muhammad Anas Abdul Hadi dan Norsyafirah Jusoh masing-masing diumumkan sebagai johan qari dan qariah. Kedua-duanya membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, sijil, plak, hadiah iringan serta kurniaan daripada Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis.
Baginda Raja Perlis berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia