Perlis Berpotensi Jadi Pusat Keilmuan Islam Bertaraf Antarabangsa – Raja Muda Perlis

Perlis Berpotensi Jadi Pusat Keilmuan Islam Bertaraf Antarabangsa – Raja Muda Perlis

SIMPANG EMPAT, 16 Julai – Perlis mempunyai potensi besar untuk dipromosikan sebagai pusat keilmuan Islam yang progresif, inklusif dan sederhana sehingga ke peringkat antarabangsa, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Hidayah Titi Beratap, Simpang Empat.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Menurut Baginda, langkah awal ke arah merealisasikan aspirasi itu ialah dengan mengundang pakar-pakar ekonomi Islam dari dalam dan luar negara untuk berkongsi kepakaran serta membincangkan isu-isu kewangan kontemporari yang dihadapi umat Islam.

Titah Baginda, usaha tersebut mampu menjadikan Perlis sebagai medan rujukan yang dinamik dalam pembangunan ekonomi moden berteraskan syariah, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab pemikiran Islam yang berwibawa.

“Perlis mempunyai ruang dan potensi untuk menjadi pusat perbincangan ilmiah Islam yang bukan sahaja memberi manfaat kepada negara, malah diiktiraf di peringkat antarabangsa,” titah Baginda.

Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha MAIPs yang terus komited menyebarluaskan konsep wasatiyyah melalui Program Hijrah Minda.

Menurut Baginda, pendekatan tersebut bukan sahaja memperkasakan pemikiran masyarakat agar lebih terbuka, progresif dan berdaya saing, malah mampu mematangkan institusi keagamaan tempatan serta mengangkat Malaysia sebagai peneraju pemikiran Islam yang harmoni, sederhana dan relevan dengan cabaran semasa.

Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM105,000 kepada 150 penerima asnaf, membabitkan 75 penerima dari kariah Titi Beratap dan 75 penerima dari kariah Sungai Bugis.

Program itu turut diisi dengan sesi Bangun Jiwa Asnaf MAIPs serta Ceramah Pendidikan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan modal insan, meningkatkan kesedaran keselamatan dan memperkasakan kesejahteraan ummah.

Penganjuran Program Hijrah Minda mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memastikan kebajikan golongan asnaf diperkasakan secara menyeluruh melalui gabungan bantuan kewangan, pembangunan sahsiah serta pengukuhan nilai-nilai Islam demi melahirkan masyarakat yang lebih sejahtera dan berdaya tahan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.