Perlis dipersiapkan menuju status bandar pintar

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan harapan besar agar negeri Perlis melangkah ke hadapan dalam mencapai status bandar pintar selaras dengan usaha menjadikan negeri ini lebih sejahtera, mampan dan berdaya huni.

Titah berkenaan dizahirkan oleh baginda dalam Majlis Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pagi ini, setelah dua tahun tidak dapat hadir ke persidangan atas faktor kesihatan.

Baginda bertitah bahawa Majlis Perbandaran Kangar (MPK) telah menerima pengiktirafan sebagai antara perintis bandar pintar di Malaysia, sekali gus meletakkan negeri Perlis di landasan strategik ke arah transformasi digital dan pembangunan bersepadu.

“Selaras dengan hasrat untuk menjadikan negeri Perlis sebagai sebuah negeri sejahtera, berdaya huni, mampan dan pintar, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) telah menjadi antara 18 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menerima penarafan Bandar Pintar Malaysia tahap 1 iaitu Smart City Early Adopter pada 28 Oktober lalu. Tahniah dan syabas beta ucapkan,” titah baginda.

Baginda turut menjelaskan bahawa pengiktirafan tersebut merupakan titik tolak kepada perancangan menyeluruh mencapai keempat-empat tahap bandar pintar.

“Penarafan ini adalah permulaan negeri Perlis sebelum mencapai keseluruhan empat tahap lengkap bandar pintar iaitu Tahap pertama adalah Smart City Early Adopter, Tahap kedua adalah Developing Smart City, Tahap ketiga adalah Leading Smart City; dan, Tahap keempat adalah Visionary Smart City.

“Beta juga dimaklumkan bahawa keempat-empat tahap ini adalah selaras dengan indikator yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan untuk itu, MPK perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak.

“(Iaitu) dalam tindakan penyediaan Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis, pembangunan Perlis Integrated Command Center (PiCC), pengukuhan jawatankuasa dan penubuhan Unit Bandar Pintar di MPK bagi memastikan Bandar Pintar dapat dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang,” titah baginda .

Perancangan strategik masa depan

Mengulas hala tuju pembangunan negeri, baginda menyentuh mengenai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang bakal berakhir dan persiapan untuk RMK-13 dengan pelbagai cadangan projek demi manfaat rakyat.

“Sepertimana kita sedia maklum, tahun 2025 adalah merupakan tahun terakhir bagi Rancangan Malaysia kedua Belas (RMK-12) dan akan disusuli dengan aspirasi baharu untuk Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang akan bermula pada tahun 2026 sehingga tahun 2030.

“Selain itu, beta juga dimaklumkan bahawa statistik bilangan projek siap RMK-12 berdasarkan kepada data MyProjek sehingga 25 Mac 2025 telah merekodkan sebanyak 113 projek dan telah siap dilaksanakan dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.8 bilion,” titah baginda lagi.

Baginda turut menekankan pembangunan aspek keagamaan dan komitmen kerajaan negeri dalam menambah baik kemudahan rumah ibadah.

“Beta juga mendapat khabar bahawa kerajaan negeri telah memberi fokus kepada program keagamaan dengan membina dan membaikpulih 5 buah masjid di sekitar negeri Perlis dengan menggunakan agihan peruntukan dibawah RMK-12 ini.

“Manakala bagi RMK-13 ini pula, kerajaan negeri telah mengemukakan 61 cadangan projek dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3.3 bilion di bawah pelbagai kementerian,” titah baginda.

Dalam titah baginda, Tuanku turut merujuk pembangunan projek berskala besar seperti Perlis Inland Port dan Sanglang Port sebagai pemangkin ekonomi yang sejajar dengan aspirasi bandar pintar.

“Disamping itu, InshaAllah pada tahun ini akan menyaksikan pengoperasian Perlis Inland Port (PIP) yang pastinya akan menjadikan negeri Perlis sebagai hub kepada pengeksportan kargo darat negara. Beta juga yakin dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 ini akan menyaksikan pembinaan dan pengoperasian Sanglang Port.

“Kesemua fasa-fasa pembangunan ini akan menjadikan negeri Perlis dalam tahun yang mendatang ini akan menyaksikan perubahan sektor ekonomi yang lebih progresif,” titah baginda.

Baginda turut menyeru kerjasama antara wakil rakyat dan agensi pelaburan dalam menjayakan pembangunan negeri.

“Beta juga menggalakkan supaya Yang Berhormat Sidang Dewan sekalian supaya terus menerus membantu kerajaan negeri dalam menggiatkan lagi promosi kepada para pelabur untuk mereka ke negeri Perlis melalui kerjasama erat dengan agensi-agensi pelaburan peringkat Persekutuan.

“Khususnya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Indistri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) dan kerjasama dengan lain-lain kerajaan negeri.

“Pembangunan projek secara Private finance initiatives (PFI) juga boleh diterokai dengan lebih mendalam lagi sekiranya ianya menjanjikan pulangan yang berbaloi kepada negeri,” titah baginda.

Baginda turut menasihatkan supaya memberikan fokus kepada perkara penting berhubung masa hadapan negeri dan rakyat sempena persidangan itu dan menghindari sebarang tindakan kurang sopan atau membesarkan perkara remeh kerana rakyat sentiasa memerhati dan menilai setiap tingkah laku wakil rakyat dipilih mereka. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content