KUALA LUMPUR: Negeri Perlis kini giat menarik minat pelabur menerusi pelbagai insentif menarik yang ditawarkan di kawasan pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), sebuah hab industri strategik di Padang Besar, Perlis. Antara tawaran lain termasuk pegangan pajakan yang jelas, premium tanah yang berpatutan serta tanah industri mampu milik yang sesuai untuk pelbagai sektor. Inisiatif ini dirangka bagi merangsang pelaburan dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mengaturkan perbincangan tersebut turut berkenan berangkat hadir.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengarah Urusan Cawangan Malaysia CSCEC, Zhang Zhenguang, serta Pengerusi Pusat Budaya Cina Malaysia, Datuk Ng Heng Chuan.
Dalam sesi perbincangan itu, Kerajaan Negeri Perlis bersama pihak CSCEC membincangkan potensi kerjasama strategik merentasi pelbagai bidang, antaranya pembangunan mampan, pemerkasaan golongan belia, dan pengukuhan perpaduan budaya.
Majlis turut diserikan dengan sambutan meriah Perayaan Dragon Boat Festival yang dianjurkan oleh Pusat Budaya Cina Malaysia.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan simbolik membungkus kuih bak chang sambil dipersembah maklum lebih mendalam tentang asal-usul dan makna Pesta Duanwu, sebuah perayaan tradisional penting dalam kalangan masyarakat Cina.
Sebagai rekod, syarikat CSCEC telah terlibat dalam pelbagai projek mega dan utama di Malaysia, termasuk The Exchange 106 yang terletak di pembangunan Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur, Jesselton Twin Towers, menara kembar setinggi 56 tingkat di Kota Kinabalu, Sabah yang siap pada tahun 2023, Hospital Kota Bharu serta lebih daripada 80 projek lain yang mencerminkan kepakaran dan komitmen syarikat berkenaan dalam bidang pembinaan.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan mengadakan lawatan ke Pickle Depot, Pusat Sukan Pickleball dan Padel di Sentul Depot, Jalan Strachan, Sentul West, Kuala Lumpur yang menyediakan kemudahan 11 gelanggang Pickleball bertaraf antarabangsa dan 4 Gelanggang Padel disahkan FIP (International Padel Federation).
Pickle Depot sering menganjurkan pelbagai acara dan pertandingan berprestij seperti Skechers International Pickleball Tournament: Malaysia Edition 2025. Lebih daripada sekadar gelanggang permainan, ia merupakan pusat komuniti sukan yang aktif, yang menghimpunkan pemain tempatan dan antarabangsa dalam suasana penuh semangat dan persahabatan.