Perlis Inland Port (PIP) dijangka siap dan beroperasi menjelang Suku 3 tahun 2025 ini.
Demikian dipersembah maklumkan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mutiara Perlis Sdn Bhd, Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis ketika Baginda berkenan berangkat mengadakan lawatan ke PIP yang terletak di Lembah Chuping, Padang Besar.
Turut menyambut ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Inland Port Perlis Sdn. Bhd., Arif Rida Shabaruddin.
PIP merupakan sebuah projek infrastruktur logistik intermodal dan perdagangan berimpak tinggi yang dibangunkan bagi memperkukuh hubungan perdagangan rentas sempadan di antara Malaysia dan Thailand. Ia turut meletakkan Perlis sebagai hab logistik strategik di rantau Asia Tenggara khususnya melibatkan mode rel.
Sebagai satu-satunya pusat kargo intermodal rentas sempadan di Malaysia yang mengintegrasikan mod pengangkutan rel dan jalan raya melalui negeri Perlis, PIP memainkan peranan penting dalam menghubungkan jaringan perdagangan serantau melalui Jaringan Rel Pan-Asia, yang merentasi sehingga ke China.
Dengan kedudukannya yang amat strategik, PIP dijangka menarik aliran kargo dari Bangkok (Thailand), Vientiane (Laos), serta Wilayah Selatan China sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh aktiviti perdagangan serantau.
Projek ini merupakan inisiatif kerjasama antara sektor awam dan swasta, sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 dan Dasar Pengangkutan Negara 2030. Ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur logistik negara secara menyeluruh, mampan dan berdaya saing di peringkat global.
Di dalam lawatan ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra meninjau kemajuan pelaksanaan komponen luaran PIP iaitu jalan berikat (bonded road), susur rel (rail spur line) dan jejambat (flyover) yang dibina Kerajaan Persekutuan dan komponen dalaman PIP iaitu yad kontena dan yad keretapi yang dibina Mutiara Perlis Sdn Bhd yang merupakan syarikat usahasama Kerajaan Negeri Perlis dan swasta.
Pada masa yang sama, Tuanku Raja Muda sempat berangkat ke Pos Polis Gerakan Am yang baru di laluan berikat PIP dan menyantuni anggota-anggota bertugas. Baginda turut meninjau tiga buah rumah asnaf sekitar kawasan Padang Besar dan menyampaikan sumbangan.
Baginda menzahirkan harapan agar projek PIP bukan sahaja menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri, malah mampu memberi limpahan manfaat terus kepada rakyat tempatan, termasuk peluang pekerjaan dan peluang perniagaan.