Perlis Komited Jadi Hab Acara Antarabangsa, Fokus Sektor Strategik

KANGAR, 1 Julai 2025 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar program-program tahunan di Negeri Perlis yang akan bermula tahun 2026 diperkasa dan dinaik taraf ke tahap lebih tinggi termasuk ke peringkat antarabangsa.

Titah baginda, inisiatif ini bukan sahaja mampu meningkatkan profil negeri, malah berpotensi besar untuk merancakkan ekonomi tempatan melalui sektor pendidikan, agama, pelancongan, pelaburan dan kerjasama global.

“Dengan sokongan kukuh para pemain industri dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, agama, pelancongan, sukan, kebudayaan dan ekonomi digital, strategi yang berani dan berimpak tinggi perlu digerakkan. Promosi mesti dipertingkat dan fasiliti diperkukuh agar Perlis menjadi tumpuan penganjur acara bertaraf serantau dan antarabangsa,” titah baginda dalam kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis hari ini.

Baginda bertitah demikian sempena pelancaran ‘Perlis Food Promotion’ menerusi menu istimewa Kurma Daging Perlis di The Village House, Singgahsana Resort, Santubong, Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda berdua – Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda disambut mesra oleh pemilik resort, Donald Tan dan Marina Tan selaku tuan rumah, dengan kerjasama YTSP Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Smart Leisure Travels.

Menurut kenyataan itu, Kurma Daging Perlis akan ditawarkan sebagai salah satu hidangan utama di The Village House selama sebulan, bagi memperkenalkan cita rasa unik Perlis kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu; Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Rubiah Tul Adwiyah Hj Md Yusoh; serta Pengerusi Eksekutif MyUS Group, Datuk Nellsen Young.

Terletak di tengah landskap indah Kampung Santubong, The Village House merupakan destinasi butik eksklusif yang menggabungkan seni bina tradisional dan elemen moden. Resort ini menawarkan pengalaman percutian peribadi yang mendamaikan, sesuai buat pasangan dan pencinta seni serta warisan budaya.

Pelancong juga boleh meneroka tarikan berhampiran seperti Kampung Budaya Sarawak, denai hutan dan laluan pantai – menjadikan promosi ini sebagai usaha sinergi antara warisan makanan, pelancongan dan diplomasi budaya.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content