Perlis Perkukuh Infrastruktur, Sasar Jadi Hab Ekonomi Utara ASEAN

Perlis Perkukuh Infrastruktur, Sasar Jadi Hab Ekonomi Utara ASEAN

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Negeri Perlis sedang mempergiat persiapan untuk melangkah ke era baharu transformasi ekonomi menerusi pengukuhan infrastruktur fizikal dan digital secara menyeluruh bagi menyokong gelombang perindustrian masa hadapan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, agenda memperluaskan kemudahan pelabuhan darat, pembangunan pelabuhan laut pada masa hadapan, pembukaan kawasan perindustrian baharu serta pemerkasaan rangkaian telekomunikasi moden merupakan prasyarat penting dalam membina ekosistem perdagangan yang mampan dan berdaya saing.

Menurut Baginda, usaha tersebut bukan sahaja mampu menarik pelaburan asing, malah menjadi tulang belakang kepada kelancaran rantaian bekalan domestik dan antarabangsa.

“Pengukuhan infrastruktur strategik ini penting bagi memastikan Perlis berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan peluang perdagangan serantau dan global,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyempurnakan Program Promosi Masakan Perlis di Riverside Café & Restaurant, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini.

Titah Baginda, projek-projek strategik seperti Perlis Inland Port (PIP) yang baharu dirasmikan serta Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dijangka menjadi pemangkin utama kepada perubahan landskap sosioekonomi negeri.

Dengan kedudukan strategik di sempadan Malaysia-Thailand, Perlis dilihat semakin bersedia memainkan peranan sebagai gerbang logistik yang menghubungkan negara ini dengan pasaran ASEAN.

Baginda turut menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur bukan sekadar bertujuan meningkatkan pertumbuhan ekonomi, malah perlu diterjemahkan kepada manfaat yang lebih inklusif kepada rakyat menerusi penciptaan peluang pekerjaan berkualiti dan peningkatan taraf hidup masyarakat.

Sementara itu, program promosi gastronomi tersebut merupakan kerjasama strategik antara Riverside Café & Restaurant dengan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) serta Restoran Shamiza Mohd Noor, Guar Nangka, Perlis.

Promosi berkenaan mengetengahkan Kurma Daging Perlis, antara hidangan warisan dan identiti kulinari negeri itu yang disediakan khas oleh Eksekutif Cef restoran berkenaan, Muhamad Rusmi Che Dol.

Menu tersebut ditawarkan kepada pengunjung sepanjang berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 dari 29 Mei hingga 7 Jun sebagai usaha memperkenalkan keunikan gastronomi Perlis kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Turut berangkat ialah Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama puteri-puteri Baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Irmohizam Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL, Fauzy Wahab.

Program itu mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam mengangkat warisan makanan tradisional Perlis sebagai aset budaya bernilai tinggi, sekali gus memperkukuhkan kedudukan negeri tersebut sebagai destinasi yang kaya dengan gastronomi, tradisi dan warisan Melayu.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.