ARAU 27 Jan. – Perlis kini membuka lembaran baharu dalam pembangunan ekonomi hijau dengan potensi pelaburan bernilai RM500 juta dalam sektor tenaga bersih. Pelaburan ini dijangka mewujudkan 421 peluang pekerjaan baharu menerusi inisiatif pembuatan dan pemasangan Battery Energy Storage System (BESS) berteknologi tinggi, sekali gus memperkukuh asas industri serta rantaian bekalan tenaga bersih negeri selaras dengan aspirasi pembangunan jangka panjang Perlis.
Zonergy Corporation dari China bersama Western Power Clean Energy (WPCE) dan rakan tempatan, Northern Solar Ventures Sdn. Bhd. (NSV), telah mengadakan lawatan kerja ke Perlis bagi meneroka peluang pelaburan tenaga bersih serta pembangunan rantaian bekalan strategik. Lawatan tersebut merangkumi sesi perbincangan cadangan pelaburan dan taklimat teknikal bersama pihak berkepentingan utama, selain lawatan tapak ke Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Perlis Inland Port (PIP).
Inisiatif pembangunan platform BESS ini dirancang secara berfasa untuk memenuhi keperluan sektor industri, komersial dan kediaman, tertakluk kepada skop akhir projek, kelulusan pihak berkuasa serta struktur pelaksanaan yang akan dimuktamadkan. Inisiatif ini bukan sekadar melibatkan pembinaan sebuah fasiliti, malah berpotensi membentuk sebuah platform industri berteknologi tinggi yang mampan, berdaya saing dan bernilai tambah kepada ekonomi negeri.
Perkara tersebut dipersembahkan oleh Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), Datuk Md. Silmi Abd. Rahman kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu sesi sembah mengadap di Galeri DiRaja Arau bersama delegasi Zonergy Corporation, WPCE dan NSV.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Presiden Zonergy Corporation, Xu Hongchan; Pengarah Urusan WPCE, Gina Jiang; NSV diketuai oleh Tan Sri Halim Saad dan Penasihat kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Pengurusan Pelaburan Chuping Valley Industrial Area (JPPPCVIA), Datuk Azman Mahmud.
Delegasi daripada Zonergy Corporation, WPCE dan NSV berada di Perlis bagi lawatan selama dua hari bermula 26 hingga 27 Januari 2026. Program tersebut merangkumi siri kunjungan hormat, sesi libat urus strategik, taklimat teknikal, serta lawatan tapak ke CVIA dan PIP.
Kerajaan Negeri Perlis melalui PKENPs telah menyelaras lawatan ini dengan penglibatan pelbagai agensi utama termasuk Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri, Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan pengurusan Perlis Inland Port. Sesi-sesi ini menzahirkan kesiapsiagaan Perlis dalam menerima pelaburan berskala besar yang berimpak tinggi terhadap penciptaan pekerjaan dan pembangunan industri.
Ekosistem CVIA–PIP yang bersepadu menawarkan kemudahan pelaburan serta kesalinghubungan logistik yang kukuh, manakala Perlis Inland Port menjadi bukti kesiapsiagaan infrastruktur dan kecekapan rantaian bekalan negeri bagi menyokong keperluan pelabur antarabangsa.
Sempena majlis tersebut, Northern Solar Ventures Sdn. Bhd. turut menyumbangkan 50 unit storan bateri Zonergy kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), yang diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Mohd. Nazim Haji Mohd. Noor, sebagai sokongan kepada usaha memperkukuh daya tahan tenaga komuniti.
Sumbangan berkenaan disaksikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs sekali gus mencerminkan keselarasan antara inisiatif pelaburan tenaga bersih dengan agenda pembangunan institusi dan kesejahteraan masyarakat di Perlis.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia