KUALA LUMPUR: Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) merupakan institusi ilmu negara yang berperanan sebagai penjaga khazanah intelektual negara, menyimpan lebih 4.78 juta koleksi bahan termasuk manuskrip Melayu klasik seperti Hikayat Hang Tuah, Koleksi Langka, dan penerbitan antarabangsa.
Demikian dipersembah maklumkan oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Edy Irwan Zulkafli kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika baginda berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Perpustakaan Negara Malaysia yang terletak di Jalan Tun Razak, Titiwangsa, Kuala Lumpur pada sabtu.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Edy Irwan Zulkafli, bersama Timbalan Ketua Pengarah, Puan Anisatul Wahidah.
Lawatan tersebut diadakan bersempena program Kayuhan TTG Kuala Lumpur yang diketuai sendiri oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra.
Selaras dengan perkembangan teknologi, PNM turut menawarkan perkhidmatan digital seperti u-Pustaka, PNM OverDrive, dan aplikasi PNM eReader untuk akses mudah kepada bahan bacaan elektronik. Perpustakaan ini dibuka kepada umum setiap hari kecuali Isnin dan cuti umum.
Selain persinggahan di Perpustakaan Negara Malaysia, Tuanku Raja Muda turut berkenan meninjau perkarangan Istana Budaya serta Tasik Titiwangsa. Baginda juga berangkat menghadiri sesi dialog yang diaturkan khas oleh baginda melibatkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bersama dengan China State Construction Engineering (M) Sdn. Bhd. (CSCEC) Malaysia yang berlangsung di Hampshire Place, Kuala Lumpur untuk mempelopori peluang-peluang pelaburan baru di Perlis serta menghadiri majlis santapan tengahari yang dihoskan oleh Glorious Melodies Consultancy Sdn Bhd bersempena program tersebut.