KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berharap Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) yang berlangsung di negeri ini menjadi platform terbaik membincangkan pelbagai isu termasuk berkaitan keselamatan dan memperkasa Askar Wataniah sebagai antara benteng pertahanan negara.
Beliau yang juga Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Sabah, turut menyokong kegiatan Askar Wataniah di negeri ini.
“Sebab itu, saya amat mengalu-alukan Sidang Komander Askar Wataniah ini diadakan di Sabah. Saya dimaklumkan antara tujuan persidangan atau mesyuarat ini adalah untuk membincangkan hal-hal pemerkasaan Askar Wataniah antaranya dari segi pentadbiran dan aspek logistik.
“Sebagai negeri berhampiran dengan beberapa negara jiran, sudah pasti aspek keselamatan amat kita titikberatkan. Ini bagi memastikan keamanan dan kemakmuran negeri ini termasuk memberi jaminan kepada keselamatan rakyat di Sabah.
“Malah, dalam melaksanakan agenda pembangunan negeri menerusi pelan pembangunan kami iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kita amat perlu mengekalkan keamanan dan keharmonian,” katanya pada Majlis Makan Malam Sidang SKAW Siri 37/2025 anjuran Kerajaan Negeri di sini, malam ini.
Hajiji berkata, pelaksanaan Hala Tuju SMJ bukan saja memberi penekanan dalam tiga sektor utama ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan tetapi juga berkaitan modal insan dan kesejahteraan rakyat serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
“Dalam aspek kesejahteraan rakyat, pelbagai langkah proaktif secara berterusan dilaksanakan antaranya menyediakan rumah untuk golongan miskin di luar bandar, menerusi Program Rumah Mesra SMJ di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kerajaan Negeri juga menyediakan pelbagai bantuan pendidikan bagi membantu anakanak Sabah meneruskan persekolahan mereka. Sebab itu, saya amat memberi penekanan dalam aspek keselamatan agar lebih banyak lagi pembangunan dapat dibawa ke negeri ini,” katanya.
Beliau turut berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan dengan mengadakan persidangan ini di Sabah.
“Majlis ini bukan saja untuk meraikan Ahli Sidang Komander Askar Wataniah, tetapi ia juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan di antara Kerajaan Negeri Sabah dengan Angkatan Tentera Malaysia amnya dan Askar Wataniah khasnya,” katanya.
Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin; Duli Yang Teramat Mulia Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah dan isteri, Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Yang Amat Mulia Tengku Seri Temenggong Raja Brigedier Jeneral Dato’ Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud AlMuktafi Billah Shah Komander Rejimen 512 Askar Wataniah dan isteri, Toh Puan Seri Zuriana Ismail.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong dan isteri, Datin Seri Dr. Hajah Nuinda Alias; Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Seri Haji Rosli Isa dan isteri, Datin Seri Norwani Muhamad Shariff.