KANGAR: Pertandingan Royal Perlis Celebration Golf 2025 telah berlangsung dengan penuh kemeriahan di Kelab Golf Putra (KGP) Perlis, Sungai Batu Pahat dengan menyaksikan penyertaan seramai 77 penggemar sukan golf dari seluruh negara.
Kejohanan berprestij ini merupakan acara tahunan anjuran Kelab Golf Putra (KGP) Perlis dengan kerjasama Kerajaan Negeri, bersempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan juga Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah pertandingan golf tersebut.
Turut berangkat sama adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Antara kategori yang dipertandingkan termasuk Division VIP, Division A, Division B, dan Division C.
Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah bagi Juara Royal Perlis Celebration Golf 2025 yang dimenangi oleh Mohd Heariman Nassim dan pemenang bagi Division A yang juga diraih oleh Saiful Firdaus Saedin, diikuti Nazim Sabu di tempat kedua dan Alif Ikhwan di tempat ketiga.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Presiden KGP Perlis turut berkenan menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang bagi kategori Division B dan Division C. Bagi Division B, Mohd Heariman Nassim dinobatkan sebagai juara, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Hasan Rejab dan Mohd Nizar Mohd Shahab.
Sementara itu, Division C menyaksikan Azidi Abd Rahim merangkul gelaran juara, diikuti oleh Datuk Nizam Othman di tempat kedua dan Khusni Abdullah di tempat ketiga.
Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat buat para peminat golf tanah air, malah turut berperanan sebagai platform memperkukuh jalinan silaturrahim antara institusi diraja, kerajaan negeri, dan masyarakat umum serta menyemarakkan lagi sektor pelancongan sukan sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang disambung selama setahun lagi sehingga akhir tahun hadapan sebagai kesinambungan bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Tarikh kemaskini: 6/5/2025