Oleh: Sholina Osman
16 MEI 2025
Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia kini memberi fokus kepada strategi yang lebih tuntas dalam melaksanakan misi dakwah.
Ia termasuk gerak dakwah setempat, peluasan dakwah digital yang merentas sempadan, serta mempergiat usaha kebajikan yang lebih tersusun dan berimpak kepada masyarakat.
Demikian dipersembah maklumkan oleh delegasi daripada Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia dalam sesi sembah mengadap ke atas Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diadakan di Galeri DiRaja Arau.
Delegasi Al-Nidaa’ itu diketuai oleh Pengerusinya, Ustaz Shofwan Badrie Ahmad Badrie, bersama Timbalan Pengerusi, Shapizan Johari dan juga pengasas dan mantan Ketua Eksekutif pertubuhan iaitu Zainuddin Alang Mamat serta 15 orang lagi wakil pertubuhan.
PELBAGAI AKTIVITI KEBAJIKAN
Dalam sesi mengadap itu, pihak Al-Nidaa’ turut mempersembahkan laporan berkaitan pelbagai aktiviti kebajikan, dakwah dan pendidikan yang telah dijalankan, serta impak dan pencapaian positif yang berjaya dicapai oleh pertubuhan itu kepada komuniti.
Selain itu, delegasi turut mempersembahkan perancangan strategik masa hadapan pertubuhan, merangkumi pelan jangka pendek dan jangka panjang yang dirangka bagi memperluas lagi manfaat dan memperkukuh peranan Al-Nidaa’ dalam pembangunan masyarakat secara menyeluruh.
Sebagai rekod, Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia merupakan sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam bidang pendidikan serta kerja-kerja kebajikan untuk insan dan komuniti termasuklah menjalankan pelbagai program, termasuk pengagihan bantuan kewangan kepada golongan memerlukan seperti warga emas, keluarga miskin, ibu tunggal, saudara baru, anak yatim, dan orang kurang upaya (OKU). – JM