PIP Pemangkin Perlis Jadi Pintu Gerbang Perdagangan ASEAN – Raja Perlis

PIP Pemangkin Perlis Jadi Pintu Gerbang Perdagangan ASEAN – Raja Perlis

PADANG BESAR, 30 Mei – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini berkenan merasmikan Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin – Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP), yang disifatkan sebagai langkah strategik bagi memperkukuh kedudukan Perlis dan Malaysia sebagai hab perdagangan serta logistik serantau.

Baginda bertitah, pembangunan PIP sebagai zon perdagangan bebas bukan sekadar simbol pembangunan fizikal, malah merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu yang mampu menarik pelaburan, memperkukuh perdagangan rentas sempadan dan merancakkan sektor logistik serta perindustrian negara.

“Dengan kedudukan strategik Negeri Perlis yang bersempadan dengan Thailand dan berada di laluan penting perdagangan ASEAN, saya menyarankan agar Kerajaan Persekutuan terus memberi perhatian serta melaksanakan pelaburan strategik bagi memangkin pertumbuhan ekonomi negeri ini.

“Saya yakin zon perdagangan bebas ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu, membuka peluang pelaburan, memperkukuh perdagangan rentas sempadan serta merancakkan sektor logistik dan perindustrian di utara Semenanjung Malaysia, sekali gus menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” titah baginda.

Turut berangkat, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda memperkenankan penggunaan nama baginda bagi zon perdagangan bebas berkenaan sebagai simbolik kepada aspirasi menjadikan PIP sebuah pusat logistik dan perdagangan moden yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Menurut baginda, pembangunan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor perdagangan dan industri berskala besar, malah turut membawa limpahan ekonomi kepada rakyat menerusi peluang pekerjaan, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pendedahan generasi muda kepada potensi pasaran global.

Baginda turut menyuarakan keyakinan bahawa Perlis berpotensi muncul sebagai pintu gerbang perdagangan utama ASEAN berikutan kedudukannya yang unik di persimpangan Koridor Rel Daratan Intra-Asia dan Koridor Maritim Selat Melaka.

“Dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pelabur-pelabur serta agensi pembangunan dan pemain industri, saya yakin visi ini mampu direalisasikan,” titah baginda.

Dalam masa sama, Raja Perlis menyeru semua pihak yang terlibat dalam pembangunan dan pengurusan zon perdagangan bebas itu supaya mengamalkan nilai amanah, rajin serta profesionalisme bagi memastikan Perlis terus diyakini sebagai hab perdagangan pilihan pelabur dan usahawan antarabangsa.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Mutiara Perlis Sdn Bhd, Kerajaan Negeri Perlis, Kementerian Ekonomi, Northern Corridor Implementation Authority, Kementerian Pengangkutan serta semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan pembangunan strategik berkenaan.

“Komitmen dan kerjasama erat semua pihak telah menjadikan pembangunan strategik ini satu kenyataan,” titah baginda. – Bernama.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.