Promosi Masakan Perlis Perkenal Warisan Kulinarinya di Da Nang

152501

DA NANG (Vietnam) 2 Sept — Keunikan masakan Perlis diketengahkan kepada masyarakat antarabangsa menerusi Promosi Masakan Perlis yang diadakan di Halal Food Abdul Karim di sini, sekali gus menjadi platform memperkenalkan warisan kulinari negeri itu di Vietnam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, makanan bukan sekadar mencerminkan identiti dan warisan sesebuah negeri, malah boleh menjadi medium berkesan dalam membina hubungan antara masyarakat serta memperkenalkan Perlis ke peringkat antarabangsa.

Baginda bertitah, usaha mengetengahkan masakan Perlis di luar negara juga boleh melengkapi agenda pengantarabangsaan menerusi pendekatan merangkumi pendidikan, kebudayaan, penyelidikan dan hubungan antara masyarakat.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Majlis Pelancaran Promosi Masakan Perlis yang berlangsung di Halal Food Abdul Karim, di sini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan Baginda disambut oleh pemilik Halal Food Abdul Karim, Fatihah binti Muhammad Ibrahim (Kieu Thi Hong Nhi) bersama Pembantu Pengurus, Faridah (Khe Nu Hong Xiem).

Inisiatif berkenaan dianjurkan oleh Halal Food Abdul Karim dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor UniMAP bertitah, pengantarabangsaan turut menjadi elemen penting dalam memperkukuh kedudukan universiti, khususnya melalui jaringan akademik, penyelidikan, inovasi dan perkongsian ilmu merentasi sempadan.

Menurut Baginda, kekuatan penyelidikan dan inovasi UniMAP bukan hanya diterjemahkan menerusi penerbitan, paten atau hasil penyelidikan, tetapi juga melalui keupayaan universiti menghimpunkan komuniti akademia, penyelidik, saintis, jurutera serta pemain industri dari dalam dan luar negara.

Antara platform utama UniMAP ialah Global Trends in Engineering, Science & Technology Congress (GTEST) dan Perlis International Engineering Invention & Innovation Exhibition (Pi-ENVEX).

Kedua-dua platform itu menyediakan ruang kepada penyelidik untuk berkongsi ilmu, membentangkan hasil penyelidikan, membina jaringan serta mengembangkan idea dan teknologi ke peringkat antarabangsa.

Pi-ENVEX 2026 merekodkan 221 penyertaan inovasi termasuk 33 penyertaan antarabangsa dari 11 negara, sekali gus memperlihatkan kemampuan UniMAP membawa inovasi dan hasil penyelidikan ke pentas global.

Baginda bertitah, gabungan platform perkongsian ilmu dan pameran inovasi itu membolehkan UniMAP membentuk rantaian lebih lengkap daripada penyelidikan kepada perkongsian ilmu, inovasi, industri dan akhirnya memberikan impak kepada masyarakat.

Dalam konteks sama, Promosi Masakan Perlis di Da Nang turut membawa semangat pengantarabangsaan dengan memperkenalkan identiti negeri melalui warisan makanan.

Program berkenaan sekali gus membuka ruang untuk Perlis dikenali bukan sahaja menerusi kekuatan pendidikan tinggi dan teknologi yang dibawa UniMAP, malah melalui budaya, tradisi serta keunikan kulinarinya.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.