Oleh: Sholina Osman
14 MAC 2026.
Kerajaan Persekutuan memperuntukkan elaun Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir dan Guru KAFA Negeri Perlis bagi tahun 2025 serta bayaran one-off bagi tahun 2026 berjumlah RM17,193,470.
Majlis penyerahan tersebut disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Program Iftar Ramadan Madani (IRAMA) Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 yang berlangsung di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ), Kangar.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee hadir bagi menyerahkan cek cura kepada Pengarah, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU), Maznah Musa.
USAHA MENYANTUNI RAKYAT
Program Iftar Ramadan Madani peringkat Negeri Perlis yang dianjurkan oleh JAKIM dengan kerjasama JAIPs ini diadakan sebagai usaha menyantuni masyarakat, khususnya golongan asnaf dan agamawan sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Majlis iftar tersebut turut diserikan dengan bacaan dan Tadabbur ayat-ayat suci al-Quran oleh Imam dan Bilal Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Terdahulu, Tuanku Raja Muda Perlis bertitah menyambut baik inisiatif ‘Rakan Masjid’ yang dilaksanakan di peringkat Pusat dalam usaha mendekatkan golongan belia dengan institusi masjid, yang bukan sahaja berperanan sebagai tempat ibadah, malah turut berfungsi sebagai pusat pembangunan sahsiah, pembinaan kepimpinan serta penyemaian nilai-nilai murni dalam masyarakat.
MEMBIMBING GOLONGAN BELIA
Baginda menambah bahawa usaha tersebut amat penting dalam membimbing golongan belia agar menjadikan masjid sebagai medan menimba ilmu, di samping ruang mempererat hubungan persaudaraan sesama umat Islam.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar melalui inisiatif ‘Rakan Masjid’ jika dapat dilaksanakan juga di Negeri Perlis ini akan lahir generasi muda yang mencintai masjid, berilmu, berakhlak mulia serta mampu menjadi agen perpaduan dan kesejahteraan ummah.
DILAKSANA SECARA KONSISTEN
Baginda turut menzahirkan harapan agar program seumpama ini dapat terus dilaksanakan secara konsisten serta diperluaskan manfaatnya, khususnya dalam mendekati golongan asnaf, belia dan umat setempat.
“Mudah-mudahan usaha-usaha seperti ini akan terus menyuburkan semangat kebersamaan, sekali gus memperkukuh kesatuan umat demi kesejahteraan masyarakat dan negara,” titah Tuanku Raja Muda lagi.
Di majlis yang sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Islamic Bank, Ahmad Shahriman Mohd Shariff dan Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Perlis dan Kedah, Dr. Ahmad Mujahid Abdullah turut hadir bagi menyempurnakan penyerahan sumbangan ikhlas bagi pihak organisasi masing-masing. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia