Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis Lawat Sarawak, Fokus Warisan dan Alam Sekitar

KUCHING, 21 Jun 2025 — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, hari ini selamat tiba di Kuching bagi memulakan lawatan khas selama empat hari ke Sarawak.

Keberangkatan Baginda berdua ke negeri Bumi Kenyalang itu turut disertai putera dan puteri Baginda, iaitu Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Ketibaan delegasi diraja di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching disambut mesra oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu serta Pengerusi Eksekutif MyUS Group, Datuk Nellsen Young.

Sebagai acara pembuka tirai lawatan, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Raja Puan Muda dijadual menghadiri Majlis Santapan Malam Diraja yang dihoskan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, bertempat di Hotel Hilton Kuching.

Sepanjang keberangkatan Baginda ke Sarawak, beberapa program telah disusun termasuk lawatan ke Pusat Hidupan Liar Orang Utan Semenggok, penyertaan dalam Perarakan Gawai Dayak 2025, serta kehadiran di Festival Hutan Hujan Sedunia (Rainforest World Music Festival – RWMF) 2025 yang berlangsung di Kampung Budaya Sarawak, Santubong.

Lawatan ini mencerminkan komitmen institusi diraja dalam menyokong pelestarian biodiversiti, meraikan kepelbagaian budaya serta memperkukuh hubungan antara negeri-negeri di Malaysia.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content