PUTRAJAYA, 13 Julai – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Sempena Persaraan Ketua Perangkawan Malaysia yang berlangsung di Dewan Kejiranan Presint 16, di sini, baru-baru ini.
Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan baginda disambut oleh Mantan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Datuk Seri Dr. Mohd Uzir menamatkan perkhidmatan awam melalui persaraan wajib pada 8 Julai lalu selepas berkhidmat selama 36 tahun. Beliau menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagai Ketua Perangkawan Malaysia sejak 2017 dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem statistik negara.
Sepanjang tempoh kepimpinannya, beliau meninggalkan legasi yang signifikan menerusi pelbagai inisiatif transformasi termasuk memperkukuh koordinasi data kerajaan, memperkasa tadbir urus statistik negara serta memodenkan Akta Perangkaan 1965 bagi memenuhi keperluan ekosistem data yang lebih dinamik, berdaya saing dan selaras dengan perkembangan semasa.
Majlis santapan itu diadakan sebagai tanda penghargaan dan penghormatan atas jasa, komitmen serta sumbangan besar Datuk Seri Dr. Mohd Uzir dalam memacu pembangunan sistem statistik negara sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Selain meraikan persaraan beliau, majlis tersebut turut menjadi platform menghargai sokongan keluarga, rakan-rakan serta warga Jabatan Perangkaan Malaysia yang bersama-sama menyumbang kepada kecemerlangan institusi berkenaan sepanjang beliau menerajui jabatan itu.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia