Raja Muda Perlis Ketuai Kayuhan Antidadah Sempena Hari Antidadah Negeri 2025

KANGAR, 14 Jun 2025 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, hari ini berkenan mengetuai program Kayuhan Berinformasi Antidadah sejauh 12 kilometer di sekitar Kuala Perlis sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Negeri Perlis 2025.

Kayuhan yang bermula dan berakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ali Ahmad, Mukim Seriab itu menjadi simbolik kepada usaha menyampaikan mesej pencegahan dadah secara lebih inklusif, sihat dan mesra komuniti.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, program seumpama ini dilihat mampu menyemai kesedaran secara lebih santai dan berkesan dalam kalangan masyarakat.

“Pendekatan sebegini membolehkan mesej ‘Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama’ disampaikan dengan lebih berkesan melalui aktiviti fizikal seperti kayuhan basikal, berjalan kaki dan senamrobik – semuanya berteraskan gaya hidup sihat dan bebas daripada pengaruh dadah,” ujar beliau dalam sidang media di Kangar.

Tambahnya, program ini turut memperkukuh peranan komuniti, khususnya belia dan keluarga, dalam mewujudkan persekitaran yang selamat dan bebas dadah melalui penglibatan terus masyarakat dalam kempen advokasi AADK.

Penurunan Statistik Penyalahgunaan Dadah di Perlis

Ruslin turut memaklumkan bahawa Perlis mencatatkan penurunan sebanyak 7 peratus dalam jumlah penyalah guna dan penagih dadah bagi tempoh sehingga Mac 2025, dengan 1,807 orang direkodkan berbanding 1,942 orang bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Dari segi kadar penyalahgunaan berdasarkan populasi, Perlis mencatatkan 609 penagih bagi setiap 100,000 penduduk, berbanding 654 tahun lalu.

Jenis dadah yang paling banyak disalahgunakan ialah Amphetamine Type Stimulants (ATS) yang merangkumi 78.2 peratus daripada jumlah kes (1,413 orang), diikuti oleh dadah jenis Opiat (21 peratus).

“Dapatan ini menjadi asas kepada AADK untuk mempergiatkan program pencegahan dadah berorientasikan komuniti, dengan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, NGO, pemimpin masyarakat serta komuniti setempat,” jelas Ruslin.

Beliau turut menegaskan bahawa keberhasilan usaha pencegahan hanya dapat dicapai melalui sinergi berterusan dan penglibatan menyeluruh pelbagai pihak bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan negara secara menyeluruh.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content