TELOK BAHANG, 27 Ogos 2026 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya setiap perancangan pembangunan masyarakat di negeri itu diterjemahkan kepada tindakan nyata dan tidak terhenti sekadar pada peringkat perbincangan.
Baginda bertitah, pendekatan yang dilaksanakan perlu memberi tumpuan kepada penyelesaian isu akar teras secara khusus bagi melahirkan rakyat bermentaliti kelas pertama, selaras dengan aspirasi ‘Perlis Hebat’.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan menerima mengadap Ahli Jawatankuasa Pembangunan Umat di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi membincangkan hala tuju baharu usaha memperkasakan pembangunan masyarakat di Perlis, baru-baru ini.
Menyambut keberangkatan baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Umat, Profesor Madya Dr. Mohd Akram Datuk Dahaman @ Dahlan.
Dalam pertemuan itu, antara fokus utama dicadangkan jawatankuasa yang diurusetiakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) ialah menjadikan pendidikan sebagai asas pembangunan umat bermula seawal usia muda.
Perhatian turut diberikan kepada usaha menangani masalah golongan tercicir bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mempunyai peluang untuk menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negeri.
Sebagai langkah awal, Bengkel Pelan Tindakan akan dilaksanakan dalam tempoh dua bulan bagi memperincikan strategi Pelan Pembangunan Masyarakat Perlis.
Pelan berkenaan turut memberi perhatian kepada usaha menangani penyalahgunaan dadah, meningkatkan tahap kesihatan masyarakat serta membudayakan nilai positif termasuk rajin, menepati masa, menjaga kebersihan dan hidup berperaturan.
Pada masa sama, sikap negatif seperti malas dan gemar menuding jari perlu dikikis dalam usaha membentuk masyarakat lebih berdaya saing dan bertanggungjawab.
Bagi merealisasikan gagasan ‘Perlis Berhikmah’, enam elemen utama HIKMAH dirangka sebagai tiang seri pembentukan masyarakat, iaitu Menghayati Agama, Iltizam Taat Raja, Konsisten Berperaturan, Memartabat Adat Istiadat, Mengamalkan Adab Mulia dan Hidup Berintegriti.
Inisiatif berkenaan akan diperkukuhkan menerusi penubuhan pusat data yang berfungsi sebagai pusat kawalan tindakan selain menyokong pendigitalan maklumat masyarakat di seluruh Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen jawatankuasa berkenaan dalam merangka pendekatan lebih tersusun bagi pembangunan umat.
Baginda pada masa sama memberi penekanan terhadap pengukuhan pendidikan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pemantauan kesihatan, pencegahan dadah, penerapan integriti serta pembentukan jati diri.
Usaha itu, titah baginda, penting bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai daya saing tinggi serta mempunyai rasa bangga menjadi umat Perlis.
Foto: MAIPs