BUKIT KETERI, 6 Julai 2025 – Tanggungjawab dalam mendidik generasi muda tidak boleh dipikul oleh sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan aktif seluruh masyarakat termasuk ibu bapa, penjaga dan komuniti setempat.
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa kejayaan membentuk pewaris bangsa yang berilmu dan berakhlak tinggi hanya dapat dicapai melalui kerjasama menyeluruh dan sokongan kolektif dari semua pihak yang terlibat.
“Tanggungjawab mendidik bukan hanya terletak di bahu pihak sekolah sahaja. Ia memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, penjaga, masyarakat, sekolah dan semua pihak sewajarnya demi membentuk generasi pewaris bangsa yang berilmu, berakhlak mulia, dan berjaya gemilang,” titah baginda.
Baginda turut menekankan kepentingan keberanian dan iltizam dalam kalangan pelajar untuk berubah serta membina masa depan yang lebih cemerlang.
“Saya berharap agar semua pelajar akan memanfaatkan sepenuhnya ruang dan peluang yang ada untuk mengenali potensi diri, memperkukuh sahsiah, serta kembali ke sekolah masing-masing sebagai individu yang lebih matang, bertanggungjawab dan berfikiran positif,” titah baginda lagi.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Penutup Kem Jati Diri 2025 Untuk Pelajar-Pelajar Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis yang diadakan di Dewan Syed Faizuddin Putra, Kem Rejimen 504 Askar Wataniah, Bukit Keteri.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dan disambut oleh Menteri Besar Perlis, YAB Mohd Shukri Ramli, serta Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, Setiausaha Kehormat YTSP, Datuk Johari Mohd Darus, dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Rakyat, Noor Aeiza Hassan.
Platform Pembentukan Sahsiah dan Kepimpinan
Kem ini merupakan anjuran bersama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Bank Rakyat, dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), serta Rejimen 504 Askar Wataniah.
Sepanjang tiga hari dari 4 hingga 6 Julai 2025, seramai 101 pelajar perempuan Tingkatan 3 dan 4 dari seluruh negeri Perlis mengikuti kem ini yang berfokus kepada aspek sahsiah, kesedaran kendiri, integriti, semangat berpasukan, keyakinan diri dan motivasi akademik.
Majlis penutup turut menyaksikan Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sijil kepada 51 pelajar terpilih, manakala Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil mengurniakan sijil kepada baki 51 peserta yang lain.
Sijil penghargaan turut dikurniakan kepada penaja utama iaitu Yayasan Bank Rakyat dan Rejimen 504 Askar Wataniah sebagai pengiktirafan atas komitmen dan sumbangan mereka menjayakan kem ini.
Program ini menjadi cerminan kesungguhan semua pihak dalam menyemai nilai murni dan jati diri dalam kalangan generasi muda sebagai teras kepada pembangunan negeri dan negara yang berdaya tahan dan berintegriti.