Bandung, 14 September (Bernama) – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menyeru agar langkah strategik dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan serta kemajuan industri batik di rantau Nusantara.
Baginda bertitah, industri batik ketika ini berdepan pelbagai cabaran termasuk isu kelestarian alam sekitar, pemalsuan produk, kekurangan pewaris dalam kalangan generasi muda serta persaingan sengit di pasaran global.
“Rantaian nilai dalam industri batik perlu diperhebat. Daripada artisan kecil hingga pemain industri berskala besar, semua pihak wajar menerima sokongan melalui program inkubasi, platform e-dagang, pensijilan kualiti dan perlindungan hak cipta demi menjamin kelestarian produk asli.
“Pelancongan kreatif juga boleh dimajukan menerusi inisiatif seperti Batik Trails Nusantara yang menghubungkan bandar-bandar warisan di Malaysia dan Indonesia.
“Usaha ini boleh menggabungkan pengalaman bengkel batik, galeri seni, homestay tempatan serta keunikan kulinari serantau bagi menarik minat pelancong dan memperkasa ekonomi komuniti setempat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas menyaksikan proses pembuatan batik di Batik Komar, Bandung, sempena International Leadership Mobility 2025 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yang turut disertai Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, selaku Tuanku Pro Canselor UniMAP.
Batik Sebagai Identiti Nasional dan Sumber Inovasi
Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Tuanku Canselor UniMAP, bertitah bahawa di Malaysia, batik telah berkembang sebagai sebahagian identiti nasional, manakala Perlis juga tidak ketinggalan dalam usaha memartabatkannya.
Melalui UniMAP, baginda melihat potensi besar untuk menjadikan batik bukan sahaja warisan budaya, tetapi juga sumber inovasi, ekonomi dan diplomasi budaya.
“Kolaborasi erat antara universiti dan industri perlu diperkukuh. UniMAP wajar menjalin kerjasama dengan institusi di Indonesia dan Malaysia dalam bidang penyelidikan pewarna semula jadi, teknologi tekstil hijau serta inovasi reka bentuk batik yang lebih lestari.
“Selain itu, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga harus diperkasa melalui pertukaran pelajar dan pensyarah, program perantisan rentas negara serta pembangunan modul pewarisan kemahiran batik moden yang relevan dengan keperluan masa kini,” titah baginda.
Harapan Kolaborasi Nusantara
Baginda menzahirkan harapan agar Inisiatif Perkongsian Batik Nusantara dapat direalisasikan dengan UniMAP sebagai jambatan akademik dan penyelidikan serta Perlis sebagai hab inovasi batik serantau.
Lawatan tersebut, menurut baginda, diharap menjadi perintis kepada kerjasama yang memberi manfaat bukan sahaja kepada Malaysia dan Indonesia, tetapi juga kepada dunia sebagai contoh bagaimana warisan boleh bergerak seiring inovasi.
Dalam pada itu, Tuanku Raja Muda turut menitipkan pesanan kepada generasi muda agar melihat batik bukan sekadar pakaian, sebaliknya sebagai bahasa identiti, akar sejarah dan lambang maruah bangsa.
— BERNAMA