KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Minum Petang ‘The Red Chamber 2026’ di The Westin Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut Pengasas Show Case Talent And Event Management, Nik Farisza Datuk Khairi.
‘The Red Chamber 2026’ merupakan acara yang menggabungkan elemen kebajikan, apresiasi seni dan pemerkasaan budaya dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kesihatan mental.
Penganjuran majlis itu turut bertujuan mengumpul dana bagi menyokong Persatuan Sokongan Pesakit Melankolia Kuala Lumpur (KLMePSA).
Program berkenaan mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memperluas kesedaran bahawa kesihatan mental merupakan aspek penting dalam kesejahteraan masyarakat yang memerlukan sokongan, kefahaman dan kerjasama semua pihak. Kesihatan
Majlis turut diisi dengan Ceramah Kesedaran Kesihatan Mental yang dikendalikan moderator, Hajah Mahani Awang bersama penceramah jemputan, Datuk Prof. Dr. Mat Saad Mohd Baki.
Ceramah berkenaan antara lain menyentuh kepentingan penjagaan kesihatan mental serta peranan anggota masyarakat dalam memberikan sokongan kepada individu yang berdepan cabaran emosi dan psikologi.
Selain mengetengahkan mesej kesedaran kesihatan mental dan kebajikan, ‘The Red Chamber 2026’ turut mengangkat warisan budaya menerusi pertunjukan fesyen yang menampilkan koleksi eksklusif baju kurung dan kebaya daripada jenama POYA.
Pertunjukan itu mengetengahkan keindahan serta keanggunan busana tradisional Melayu dalam sentuhan kontemporari.
Para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian yang melengkapkan pengisian majlis berkenaan.
Penganjuran ‘The Red Chamber 2026’ sekali gus menjadi platform menghubungkan seni, budaya dan kebajikan dalam membawa mesej mengenai kepentingan mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin terhadap kesejahteraan mental.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia