6 Februari 2026. Sandakan, Sabah. Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa anak-anak istimewa merupakan golongan yang kaya dengan potensi serta keunikan tersendiri dan mereka adalah amanah yang amat bernilai kepada masyarakat dan negara.
Menurut baginda, golongan berkeperluan khas bukan sahaja memerlukan prasarana yang bersesuaian, malah perhatian, kesabaran serta dorongan berterusan daripada keluarga, para pendidik dan seluruh komuniti.
“Setiap individu wajar diraikan berdasarkan kekuatan dan kebolehan masing-masing. Apabila diberikan ruang dan peluang yang adil, anak-anak istimewa mampu menyerlahkan bakat, membina keyakinan diri serta mencorakkan masa depan yang lebih gemilang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat mengadakan kunjungan ke Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sandakan (TDKKU) di Jalan Chi Hwa, Sandakan.
Kerjasama Ibu Bapa, Guru dan Komuniti
Dalam titahnya, Raja Muda Perlis turut menekankan bahawa jalinan kerjasama erat antara ibu bapa, tenaga pengajar dan masyarakat perlu sentiasa diperkukuh. Kesepaduan usaha inilah yang menjadi pemangkin kepada pembentukan sahsiah, peningkatan keupayaan serta pencapaian lebih bermakna buat anak-anak berkeperluan khas.
Baginda turut mengingatkan bahawa sesebuah negara tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal atau kemakmuran ekonomi semata-mata, tetapi juga melalui keupayaannya memelihara kebajikan dan martabat golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan.
Peranan TDKKU Sandakan
TDKKU Sandakan yang beroperasi di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah menyediakan perkhidmatan pendidikan khas, penjagaan serta pemulihan menyeluruh kepada kanak-kanak kurang upaya (OKU) di daerah tersebut.
Pusat berkenaan kini menempatkan kira-kira 40 kanak-kanak OKU berdaftar yang menerima intervensi awal dan bimbingan berterusan daripada tenaga pengajar serta petugas terlatih. Program yang dilaksanakan merangkumi pendidikan awal, latihan kemahiran asas, terapi perkembangan serta aktiviti sosial yang dirancang secara sistematik dan inklusif.
Setiap pendekatan dirangka secara komprehensif bagi membantu kanak-kanak membina keyakinan diri, memperkukuh kemahiran komunikasi dan interaksi sosial, seterusnya mempersiapkan mereka untuk integrasi ke dalam sistem persekolahan arus perdana melalui program pendidikan khas integrasi.
Perasmian Ruang Terapi dan Sumbangan
Dalam lawatan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan Perasmian Ruang Terapi serta menyaksikan penyerahan sumbangan ikhlas daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan RISDA kepada pihak TDKKU Sandakan.
Baginda turut beramah mesra dan meluangkan masa bersama warga pusat berkenaan dalam suasana penuh kasih dan keprihatinan.
Lawatan ini merupakan kunjungan pertama baginda sejurus berangkat tiba di Lapangan Terbang Sandakan sempena Program Lawatan Kerajaan Negeri Perlis ke Kerajaan Negeri Sabah (EKS PERBAH) yang berlangsung dari 26 Februari hingga 1 Mac 2026.
Program yang diketuai oleh baginda itu bertujuan memperkukuh hubungan antara negeri Sabah dan Perlis melalui pelbagai aktiviti keselamatan, pendidikan serta kebajikan, sekali gus mempererat jalinan kerjasama dan persaudaraan antara kedua-dua negeri.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia