KAKI BUKIT, 11 Mac 2026 – Seramai 25 kanak-kanak daripada Persatuan Sindrom Down Negeri Perlis telah mengambil bahagian dalam Majlis Memasak Bubur Lambuk “Lambaian Kasih Ramadan Seribu Senyuman” yang berlangsung di Masjid Al Mubarak, Kampung Tasoh, Jalan Kaki Bukit, hari ini.
Program berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Sindrom Down Negeri Perlis dengan kerjasama Kariah Masjid Al Mubarak, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
Majlis tersebut bertujuan memupuk semangat kasih sayang, perpaduan komuniti serta memberi pendedahan kepada kemahiran memasak kepada anak-anak istimewa melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri kedua Baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis tersebut.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengerusi Persatuan Sindrom Down Negeri Perlis, Wan Solahuddin Wan Chik bersama barisan penganjur dan ahli kariah masjid.
Dalam majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan simbolik mengacau bubur lambuk serta beramah mesra bersama anak-anak istimewa dan komuniti setempat yang hadir.
Sempena program itu juga, Tuanku Raja Muda selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs berjumlah RM23,100 kepada 33 penerima dalam kalangan anak kariah Kampung Tasoh.
Program berkenaan bukan sahaja menyemarakkan semangat Ramadan, malah turut mengeratkan hubungan antara komuniti serta menekankan kepentingan penyertaan sosial anak-anak istimewa dalam aktiviti masyarakat.
Majlis turut diserikan dengan penglibatan sukarelawan, ahli kariah serta wakil pelbagai agensi yang berganding bahu menjayakan program kebajikan berkenaan.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia