Raja Muda Perlis santuni usahawan Malaysia di Melbourne

Raja Muda Perlis santuni usahawan Malaysia di Melbourne

MELBOURNE, 10 Ogos 2026 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat ke program Malaysia Street Food Night Market di Queensbridge Square, Melbourne, baru-baru ini. PanduanBandar & Tempatan

Keberangkatan Baginda berdua disambut penuh teruja oleh komuniti Malaysia di Victoria yang menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian pasangan diraja itu meluangkan masa bersama rakyat Malaysia di perantauan.

Turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Pengasas merangkap Pengerusi penganjuran, Fendi Ahmad berkata, program yang berlangsung pada setiap hujung minggu dari 18 Julai hingga 9 Ogos lalu menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman Malaysia yang berjaya menarik perhatian masyarakat setempat.

“Acara ini bukan sahaja menjadi tumpuan rakyat Malaysia yang menetap di Melbourne, malah menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum serta pelancong antarabangsa,” katanya.

Malaysia Street Food Night Market merupakan inisiatif Malaysian Victoria Community yang menghimpunkan lebih 20 gerai makanan jalanan dengan pensijilan 100 peratus halal. RujukanGeografi

Kesemua gerai beroperasi dari jam 3 petang hingga 10 malam, sekali gus menjadikan acara berkenaan antara destinasi untuk menikmati keunikan cita rasa Malaysia di Australia.

Antara hidangan yang menjadi pilihan pengunjung ialah nasi lemak, char kway teow, satay ayam, laksa utara, roti canai, teh tarik, cendol dan air balang.

Turut ditawarkan ialah nasi kerabu asli Kelantan, satay Johor bakar arang, roti John, mi goreng mamak serta pencuci mulut tradisional termasuk keria gula Melaka, pisang goreng keju dan apam balik.

Fendi berkata, Tuanku Syed Faizuddin bersama keluarga turut berkenan beramah mesra dengan usahawan Malaysia serta meninjau pelbagai juadah dan produk yang dipamerkan sepanjang lawatan berkenaan.

Menurutnya, keberangkatan Baginda berdua yang juga alumni universiti di Melbourne mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara.

Ia pada masa sama menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti Malaysia di Australia. RujukanGeografi

Katanya, Malaysia Street Food Night Market bukan sekadar platform mempromosikan keunikan gastronomi negara di peringkat antarabangsa, malah menjadi medium memperkenalkan budaya dan warisan Malaysia kepada masyarakat Australia menerusi kepelbagaian makanan serta semangat perpaduan.

Keberangkatan keluarga diraja Perlis itu turut disifatkan sebagai penghormatan besar kepada komuniti Malaysia di Victoria dan memberi suntikan semangat kepada mereka untuk terus mempromosikan budaya, makanan serta warisan negara di persada antarabangsa.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin menyarankan supaya penganjur bekerjasama dengan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bagi program akan datang untuk memperkenalkan Kurma Daging Perlis sebagai antara menu baharu yang ditawarkan.

Langkah itu sekali gus berpotensi mengetengahkan hidangan tradisional Perlis kepada masyarakat antarabangsa menerusi platform gastronomi Malaysia di Australia.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.