Raja Muda Perlis Sempurnakan Sumbangan RM20,000 Kepada 100 Asnaf Anjuran NUTP

Raja Muda Perlis Sempurnakan Sumbangan RM20,000 Kepada 100 Asnaf Anjuran NUTP

KANGAR 6 Mac – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian sumbangan anjuran Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berjumlah RM20,000 kepada 100 orang asnaf terpilih di negeri Perlis menerusi Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Kasih NUTP 2026 yang berlangsung di salah sebuah hotel di Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Presiden NUTP, Haji Aminuddin Awang, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor, dan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin.

Majlis ini dilaksanakan oleh NUTP dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan, khususnya sempena bulan yang mulia ini.

Dalam ucapannya, Aminuddin berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada MAIPs atas kerjasama erat dalam menjayakan majlis tersebut.

Beliau berkata NUTP merupakan kesatuan sekerja terbesar di negara ini dengan keahlian melebihi 230,000 orang dan sentiasa komited memperjuangkan kebajikan serta kepentingan warga pendidik di Malaysia.

Aminuddin menambah lagi bahawa NUTP turut menyediakan khidmat guaman yang dibiayai sepenuhnya kepada guru-guru yang berhadapan dengan tindakan mahkamah, di samping menguruskan tabung kebajikan bagi membantu ahli yang ditimpa musibah seperti kematian ahli keluarga, bencana alam serta memberi sokongan kepada ahli yang mencatat kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

Jelas beliau, sebagai kesatuan yang mewakili suara guru, NUTP akan terus memainkan peranan secara konstruktif bersama pihak kerajaan bagi memastikan sistem pendidikan negara terus unggul dan berdaya saing.

Foto Kredit MAIPs

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.