Raja Muda Perlis seru atlet SUKMA utamakan keselamatan, sasar pentas antarabangsa

Raja Muda Perlis seru atlet SUKMA utamakan keselamatan, sasar pentas antarabangsa

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar atlet negeri yang bakal beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor sentiasa mengutamakan keselamatan fizikal serta mengekalkan tahap kesihatan optimum sepanjang berada di perkampungan sukan.

Baginda bertitah, aspek tersebut amat penting bagi memastikan prestasi atlet kekal berada pada tahap terbaik sekali gus meningkatkan peluang untuk membawa pulang kejayaan dan mengharumkan nama Perlis pada temasya berkenaan.

Dalam masa sama, Tuanku Syed Faizuddin menasihati atlet supaya tidak mengehadkan impian mereka hanya di peringkat domestik, sebaliknya, menjadikan pentas SUKMA sebagai medan pendedahan awal sebelum melangkah ke kejohanan lebih tinggi seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan serta beramah mesra bersama atlet SUKMA Perlis bagi acara sepak takraw dan tinju yang sedang menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi temasya SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung di Selangor pada bulan ini.

Sempena lawatan itu, Tuanku Raja Muda turut menitahkan beberapa ketua jabatan negeri dan Persekutuan yang mengiringi baginda dalam program Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Kangar supaya menyampaikan kata-kata semangat dan motivasi kepada atlet terbabit.

Keprihatinan baginda terhadap pembangunan sukan negeri dilihat mencerminkan komitmen berterusan Institusi Diraja Perlis dalam memperkasa bakat muda serta memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.

Turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Program Kayuhan MAIPs Peduli yang dianjurkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) merupakan inisiatif berterusan untuk mendekati masyarakat serta menjejaki golongan asnaf yang memerlukan bantuan secara langsung.

Aktiviti itu juga menjadi platform bagi memupuk budaya hidup sihat, mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuh semangat keprihatinan sosial dalam kalangan masyarakat.

Pada program sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga penerima asnaf terpilih, iaitu Salmi Mat Isa, 64, dari Kampung Behor Empiang; Nasri Mat Hat, 60, dari Jalan Hospital, Kangar; dan Zainol Baharom, 73, dari Jalan Abi Tok Hashim.

Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.