KANGAR, 23 April 2026 — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa dalam era Revolusi Industri 4.0, para pelajar perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya tampil sebagai pencipta yang berinovasi serta berdaya saing.
Baginda menyeru agar segala kemudahan digital yang disediakan di sekolah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar, termasuk akses kepada internet, peranti dan teknologi bagi tujuan pembelajaran, penerokaan ilmu serta penghasilan sesuatu yang bernilai.
“Kejayaan bermula apabila pelajar berani mencuba perkara baharu dan melihat setiap cabaran sebagai peluang untuk belajar dan berkembang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Lailatul Shahreen 2026 di Dewan Syed Sirajuddin Areeb Putra, di sini.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan baginda berdua ke program yang membawa slogan “Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan” disambut oleh Pengetua sekolah, Lili Mariam Mohammad @ Mokhtar.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin; Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus; serta Ketua Penyelaras Program, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis itu melibatkan seramai 341 pelajar, terdiri daripada 185 pelajar lelaki dan 156 pelajar perempuan.
Dalam ucapannya, Lili Mariam memaklumkan bahawa sekolah berkenaan terus mencatatkan prestasi cemerlang apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menunjukkan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) kepada 3.19 berbanding 3.35 pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 0.16 mata, sekali gus meneruskan trend kecemerlangan selama tiga tahun berturut-turut.
Kecemerlangan itu turut terserlah dalam pelbagai bidang termasuk akademik, teknologi dan sukan. Antaranya, kejayaan pelajar dalam pertandingan Mimbar Daie peringkat negeri, pencapaian naib johan kebangsaan dalam wacana keselamatan ICT, serta kejayaan di peringkat antarabangsa dalam sukan lompat tali dan kejuaraan catur peringkat negeri.
Dari aspek pendigitalan, sekolah ini turut dipilih mewakili negeri Perlis bagi Anugerah Emas Digital Utilization Award (DUTA) 2025, selain merangkul johan peringkat negeri dalam pertandingan Digital Storytelling Animation (DSTA 2D).
Pada majlis sama, Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda turut berkenan menyempurnakan perasmian LeGaCY Hall sekolah berkenaan yang memaparkan sejarah penubuhan, sorotan peristiwa penting serta pencapaian sekolah sebagai simbol kebanggaan dan legasi warga institusi itu.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia