KANGAR, 6 Mei — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru para pelajar agar melengkapkan diri dengan kemahiran praktikal serta kepakaran relevan bagi memenuhi keperluan industri dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa yang semakin mencabar.
Baginda turut menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi secara bijaksana dengan menjadikan kemajuan digital sebagai medium pembelajaran, inovasi dan pembinaan masa hadapan, bukan sekadar untuk tujuan hiburan semata-mata.
Dalam titah sama, Tuanku Raja Muda menzahirkan harapan agar kerjasama antara institusi pendidikan, industri dan komuniti terus diperkukuh demi melahirkan generasi lebih bersedia dan berdaya saing.
Menurut Baginda, pendedahan kepada situasi sebenar dunia pekerjaan amat penting dalam membentuk pelajar yang memiliki wawasan luas serta mampu memenuhi kehendak pasaran kerja semasa.
Demikian titah Baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega Peringkat Kolej Vokasional Kangar baru-baru ini.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut Pengarah Kolej Vokasional Kangar, Zazlan Darus.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Haji Che Rasaidi Che Yob; Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus serta Ketua Penyelaras Program Titian Kasih, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis itu melibatkan seramai 302 pelajar terdiri daripada 156 lelaki dan 146 perempuan.
Dalam ucapannya, Zazlan berkata Kolej Vokasional Kangar terus mencatat pelbagai kejayaan cemerlang di peringkat zon, kebangsaan dan antarabangsa menerusi penglibatan aktif pelajar dalam bidang teknikal dan inovasi.
Menurut beliau, pelajar Program Penyejukan dan Penyamanan Udara berjaya meraih pingat gangsa dalam pertandingan Langkawi International Regatta Perdana.
Selain itu, tujuh pasukan kolej turut muncul juara dalam pertandingan KV Skills Zon Perlis dan Kedah sebelum mewakili zon ke peringkat kebangsaan.
“Program Teknologi Pembinaan pula berjaya meraih pingat emas dalam pertandingan Inovasi Island TVET, manakala Program Teknologi Elektrik memperoleh satu pingat emas dan dua pingat perak di peringkat kebangsaan,” katanya.
Di peringkat antarabangsa, Program Teknologi Maklumat mencipta kejayaan menerusi projek Subnetsmart yang meraih pingat emas, manakala Program Seni Kulinari memenangi pingat perak melalui projek Herby Brew di Bangkok.
Beliau berkata, penglibatan pelajar dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) KV Insani: Masyarakat MADANI turut memperlihatkan komitmen institusi dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten, malah prihatin terhadap masyarakat.
Katanya, pelbagai inisiatif khidmat komuniti dilaksanakan termasuk kerja baik pulih, penyelenggaraan, perkongsian ilmu dan bantuan kepada golongan memerlukan.
“Pendekatan ini membuktikan bahawa pelajar Kolej Vokasional Kangar bukan sahaja cemerlang di pentas pertandingan, malah mampu menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Bengkel Seni Reka Fesyen yang akan digunakan sebagai fasiliti pengajaran dan pembelajaran program berkenaan meliputi aspek reka bentuk, ilustrasi, lakaran pola serta penghasilan pakaian.
(Foto: Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis)
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia