RAJA MUDA PERLIS TEKANKAN KREATIVITI DAN INOVASI DALAM PENDIDIKAN

12 Julai 2025 | Beseri

Pendekatan pendidikan masa kini perlu memberikan lebih ruang kepada eksplorasi idea, pemikiran di luar kotak serta pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah. Kreativiti dan inovasi bukan sahaja memperkayakan kaedah pembelajaran, malah membentuk pelajar yang lebih proaktif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Program Titian Kasih Mega 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beseri, Perlis.

Baginda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut mesra oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin serta Pengetua SMK Beseri, Saodah Ibrahim.

Hadir sama, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Ketua Penyelaras Program, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini melibatkan penyertaan seramai 188 pelajar Tingkatan 1 hingga 3 – terdiri daripada 86 pelajar lelaki dan 102 pelajar perempuan.

Dalam ucapan aluan, Pengetua SMK Beseri menzahirkan rasa bangga atas pencapaian cemerlang pelajar sekolah dalam peperiksaan SPM 2024. Nurul Ashikin Suhaimi dinobatkan pelajar terbaik dengan 9A, manakala seorang pelajar mencatat 4A, seorang lagi 3A dan empat orang mendapat 2A. Peratusan pelajar layak mendapat sijil meningkat ketara kepada 94.74%, berbanding 89.19% tahun sebelumnya.

SMK Beseri turut mencatat kecemerlangan dalam bidang kokurikulum. Aqil Hafiz (Tingkatan 2 Bakti) menyinar dalam sukan perahu layar di pentas kebangsaan dan antarabangsa melalui Regatta Langkawi, manakala Muiz (Tingkatan 2 Bakti) mengharumkan nama dalam kejohanan Taekwondo peringkat kebangsaan. Zaid Al Tajdid (Tingkatan 5 Bestari) pula muncul juara Grand Final Sirkit Negeri Perlis dalam Kejohanan Silat Remaja Kebangsaan.

Seramai 10 pelajar sekolah ini turut berjaya melayakkan diri ke peringkat negeri dalam acara Merentas Desa MSSPs.

Pada majlis sama, Baginda berdua turut berkenan merasmikan Anjung Kejayaan SMK Beseri, sebuah ruang khas yang menghimpunkan pelbagai rekod kecemerlangan akademik dan kokurikulum sekolah sejak 2013 hingga kini.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content