Raja Muda Perlis titah atlet SUKMA utamakan keselamatan, sasar pentas antarabangsa

Raja Muda Perlis titah atlet SUKMA utamakan keselamatan, sasar pentas antarabangsa

KANGAR, 3 Ogos – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan atlet negeri yang bakal beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor supaya sentiasa mengutamakan keselamatan fizikal serta mengekalkan tahap kesihatan pada tahap optimum sepanjang berada di perkampungan sukan. PertahananKeselamatan Malaysia

Baginda bertitah aspek tersebut amat penting bagi memastikan prestasi atlet tidak terjejas sekali gus membolehkan mereka memberikan persembahan terbaik demi mengharumkan nama Perlis.

Pada masa sama, Baginda menasihati atlet agar tidak mengehadkan cita-cita hanya di peringkat domestik, sebaliknya menjadikan SUKMA sebagai platform awal untuk melangkah ke kejohanan lebih tinggi seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Titah baginda itu dizahirkan selepas berkenan mengadakan lawatan serta beramah mesra bersama atlet Perlis bagi acara sepak takraw dan tinju yang sedang menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi temasya SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung di Selangor bulan ini.

Dalam lawatan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin turut menitahkan beberapa ketua jabatan negeri dan Persekutuan yang mengiringi Baginda sempena program Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Kangar supaya menyampaikan kata-kata semangat dan motivasi kepada atlet bagi membakar azam mereka memburu kejayaan.

Keprihatinan Baginda terhadap pembangunan sukan negeri dan kebajikan rakyat mencerminkan komitmen berterusan Institusi Diraja Perlis dalam menyokong usaha melahirkan atlet berprestasi tinggi di samping memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat.

Turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Program Kayuhan MAIPs Peduli yang dianjurkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) merupakan inisiatif berterusan bagi mendekati masyarakat serta menjejaki golongan asnaf yang memerlukan bantuan secara langsung.

Program itu turut menjadi platform menyemarakkan budaya hidup sihat, mengeratkan silaturahim dan memperkukuh semangat keprihatinan sosial dalam kalangan masyarakat.

Sempena program berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga penerima asnaf terpilih iaitu Salmi Mat Isa, 64, dari Kampung Behor Empiang, Nasri Mat Hat, 60, dari Jalan Hospital, Kangar dan Zainol Baharom, 73, dari Jalan Abi Tok Hashim.

Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.