JAKARTA, 17 Sept – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terus memperkukuh hubungan diplomatik dengan Indonesia di semua peringkat.
Baginda bertitah peranan kedutaan bukan sahaja menjaga kepentingan politik dan ekonomi negara, malah menjadi institusi utama yang mengeratkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
“Ia perlu menjadi jambatan yang memperkukuh persefahaman, kerjasama dan persahabatan antara Malaysia dan Indonesia,” titah baginda semasa berkenan berangkat ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin turut menegaskan kepentingan kedutaan dalam memastikan kebajikan rakyat Malaysia di Indonesia termasuk pelajar, pekerja dan ahli perniagaan sentiasa diutamakan.
“Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sendiri mempunyai ramai pelajar dan rakan kerjasama di Indonesia. Peranan kedutaan amat penting memperkukuh jaringan pendidikan serta penyelidikan,” titah baginda yang juga Canselor UniMAP.
Turut berangkat dalam lawatan rasmi sempena program UniMAP International Leadership Mobility 2025 ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Pro-Canselor UniMAP.
Dalam pertemuan bersama Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, baginda turut bertitah isu tenaga kerja, persempadanan dan persaingan ekonomi serantau memerlukan kebijaksanaan diplomasi.
“Hubungan Malaysia-Indonesia perlu diurus dengan semangat kekeluargaan kerana kita adalah jiran yang ditakdirkan untuk saling melengkapi, bukan bersaing secara merugikan,” titah baginda.
Baginda menambah cabaran global seperti perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi, perkembangan teknologi kecerdasan buatan serta isu keselamatan serantau menuntut kerjasama erat antara kedua-dua negara.
Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa universiti dan institusi pendidikan tinggi mampu menjadi penggerak penting hubungan dua hala dengan melahirkan generasi berfikiran terbuka serta berkemahiran global.