Raja Muda Perlis Titah Pendidikan Bentuk Insan Berdaya Saing dan Berakhlak Mulia

KAKI BUKIT, 3 Julai 2025 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah bahawa pendidikan merupakan tunjang utama dalam membentuk insan yang bukan sahaja berilmu, malah berakhlak, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada keluarga, masyarakat serta negara.

Titah baginda, kemenjadian murid tidak harus dilihat daripada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya merangkumi aspek pembangunan sahsiah, emosi, sosial dan kerohanian yang menyeluruh.

“Pelajar bukan hanya perlu cemerlang di atas kertas, tetapi juga tinggi nilai moral, kuat jati diri dan kukuh semangat patriotisme,” titah baginda ketika merasmikan Program Titian Kasih Mega 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Puan Muda Tengku Fauziah, Kampung Aman, Kaki Bukit, pada Rabu.

Tuanku Syed Faizuddin turut mengingatkan para pelajar agar bertanggungjawab terhadap pembelajaran dan tindakan mereka, serta menanam nilai murni seperti amanah, jujur, sabar dan gigih dalam kehidupan seharian.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, serta Pengetua SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah, Kamarul Isam bin Isa.

Program ini dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, melibatkan 476 pelajar dari Tingkatan 1 hingga 3. Hadir sama, Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, serta penyelaras YTSP, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Dalam ucapan aluan, Pengetua Kamarul Isam memaklumkan bahawa sekolah tersebut mencatat peningkatan prestasi akademik dalam SPM 2024, dengan GPS 4.92, meningkat daripada 5.46 pada tahun sebelumnya. Sebanyak 91.67% pelajar lulus penuh, dan seorang pelajar memperoleh semua ‘A’, manakala 31 pelajar mendapat antara 4 hingga 8 ‘A’.

Dalam bidang kokurikulum pula, pelajar-pelajar sekolah ini turut membanggakan negeri dan negara:

• Aina Qasrina Yuslizam (Tingkatan 3 Rafflesia) menjadi johan perahu layar peringkat kebangsaan dan naib johan Regata Antarabangsa.

• Pasukan frisbee perempuan johan dan lelaki naib johan kebangsaan.

• Pasukan bola keranjang perempuan bawah 18 tahun johan negeri.

• Pasukan silat memperoleh satu pingat gangsa di Kejuaraan Remaja Kebangsaan dan dua pingat di Kejuaraan Serumpun Panglima.

Pengetua turut menegaskan bahawa kejayaan sebenar ialah apabila pelajar menjadi insan berguna yang menyumbang kembali kepada masyarakat dengan semangat cintakan negara.

Majlis turut menyaksikan Tuanku Syed Faizuddin berkenan merasmikan Bilik TFS Premium Bistro, ruang kafe santai khas untuk kegunaan para guru dan kakitangan sekolah yang menyediakan minuman dan pastri dalam suasana eksklusif.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content