PETALING JAYA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menekankan keperluan memperkasa prosedur operasi standard (SOP) bantuan bencana, khasnya di kawasan berisiko tinggi dan mudah terputus hubungan sebagai langkah meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi banjir sedang melanda negeri itu.
“Pelaksanaan SOP bantuan wajar diperkemas, terutamanya bagi menangani isu mangsa terkandas dan terputus akses laluan seperti di Wang Kelian.
“Penggunaan teknologi moden seperti dron juga perlu dioptimumkan bagi tujuan pemantauan serta penghantaran bantuan ke lokasi sukar ditembusi,” titah baginda ketika berangkat meninjau keadaan banjir dan menyantuni mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Padang Besar, termasuk PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mata Air dan Dewan Felda Mata Air.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut mengiringi keberangkatan baginda.
Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah menyeru rakyat Perlis sentiasa mematuhi arahan agensi keselamatan dan mengikuti makluman terkini pihak berkuasa bagi memastikan proses pemindahan serta menyelamatkan mangsa banjir teratur serta selamat tanpa risiko.
Tech stock video 3 5Feb25Tech stock video 3 5Feb25
Baginda turut menasihatkan orang ramai mengelakkan kawasan berarus deras, berwaspada terhadap kabel elektrik terdedah dan kehadiran haiwan berbisa, manakala kanak-kanak perlu mengelak bermain di kawasan dinaiki air.
Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan banjir di beberapa kawasan seperti Wang Kelian, Titi Tinggi dan Lubuk Sireh.
Ketika ini, SK Felda Mata Air menempatkan 264 mangsa dari Titi Tinggi yang dipindahkan selepas PPS asal di SK Titi Tinggi ditutup akibat paras air membahayakan, sementara 90 orang berlindung di Dewan Felda Mata Air dan 71 orang di SK Felcra Lubuk Sireh.
PPS Masjid Nurul Husna di Wang Kelian pula menempatkan 150 penduduk tempatan dan kira-kira 500 pelancong serta pengembara terkandas ketika dalam perjalanan pulang dari Thailand akibat jalan terputus hubungan.
Pembukaan dan pengurusan PPS berjalan lancar hasil kerjasama erat pelbagai agensi, termasuk Jabatan Pendidikan Perlis, pengurusan Felda dan Felcra, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis serta Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang menyediakan fasiliti seperti sekolah, dewan orang ramai dan masjid bagi menampung keperluan mangsa.
MAIPs bersama Bahagian Pentadbiran Daerah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut bertindak segera menyalurkan bantuan awal, manakala operasi menyelamat dan memindahkan mangsa digerakkan dengan kecekapan pasukan keselamatan.