Raja Muda Perlis Titah Perkukuh Adat Selari Syarak dalam Jiwa Generasi Muda

8Julai 2025 | Ulu Pauh

Adat istiadat Melayu yang selari dengan syarak mesti terus diperkukuh dan dihidupkan agar menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat hari ini, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, sejarah telah membuktikan bahawa adat yang berakar daripada ajaran Islam akan terus diterima dan dihormati rakyat, justeru menjadi tanggungjawab bersama untuk memelihara warisan tersebut agar tidak luput ditelan zaman.

“Anak-anak muda perlu dididik dengan kefahaman jelas mengenai budaya dan adat negeri supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar yang boleh menggugat keperibadian bangsa,” titah Baginda ketika menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Ali Imran, Ulu Pauh.

Raja Muda Perlis turut menekankan keperluan menyemai nilai-nilai adat dalam sistem pendidikan dan program sosial sebagai benteng pertahanan jati diri generasi akan datang.

Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda Baginda, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail. Ketibaan Baginda sekeluarga disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan agihan zakat MAIPs berjumlah RM210,000 kepada 300 penerima daripada kalangan anak kariah di kawasan Kota Raja Arau 1 dan 2, Pauh Guring dan Padang Siding.
Agihan tersebut mencerminkan komitmen tinggi MAIPs di bawah naungan Tuanku Raja Muda Perlis dalam memperkasakan komuniti dan menyantuni rakyat melalui pendekatan berjiwa rakyat.

Program Hijrah Minda ini merupakan salah satu platform penting untuk memupuk nilai murni, memperkukuh institusi kekeluargaan dan membina kesejahteraan ummah secara bersepadu.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.