KUCHING: Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis menyerikan malam pembukaan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 di Kampung Budaya Sarawak (SCV), malam tadi.
Keberangkatan tiba Baginda berdua sekitar jam 8.40 malam disambut dengan penuh hormat oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan isteri, diiringi Timbalan Menterinya, Dato Gerald Rentap Jabu dan isteri.
Dalam suasana yang meriah dan penuh warna-warni budaya, Baginda berdua berkenan berangkat menyaksikan persembahan artis tempatan dan antarabangsa termasuk kumpulan Mathew Ngau Jau bersama Lan E Tuyang, The Paradise Bangkok Molam International Band (Thailand), Naugan (Malaysia), Gaga Gundul (Perancis dan Indonesia), Seffarine (Maghribi, Cuba, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Iran), Otyken (Siberia, Rusia), dan Meruked dari Sarawak.
Keberangkatan Baginda berdua nyata menceriakan para pengunjung yang hadir, malah menambah seri acara dengan sentuhan istimewa diraja.
Baginda berdua turut dijadualkan berangkat ke Majlis Perarakan Gawai Dayak 2025 yang akan berlangsung pada Sabtu di Square Tower, Tebingan Sungai Sarawak, Kuching.
Lebih 10,000 pengunjung membanjiri SCV bagi menyambut malam pembukaan RWMF yang bertemakan “Connection – One Earth, One Love”, dengan pelbagai persembahan, aktiviti kebudayaan, serta sajian tempatan yang mencuit selera.
Turut sama memeriahkan suasana, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak, Dato Dennis Ngau serta para tetamu yang lain.
EDISI UKAS