Raja Muda sempurnakan Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis 2025

Raja Muda sempurnakan Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis 2025

Oleh: Sholina Osman
13 MEI 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis 2025 dan Pelancaran “Road To SUKMA dan Para SUKMA Ke-22 Selangor 2026” di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis, Kangar.

Berangkat sama ialah Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengerusi Belia dan Sukan, Komunikasi dan Digital, Pengangkutan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Wan Zikri Afthar Ishak.

Majlis anjuran Majlis Sukan Negeri Perlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada atlet-atlet cemerlang negeri yang telah mengharumkan nama Perlis sepanjang tahun 2025 di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

SIMBOL KEBANGKITAN SEMANGAT

Penganjuran majlis tersebut turut menjadi simbol kebangkitan semangat, iltizam serta kesiapsiagaan kontinjen Perlis dalam menghadapi temasya SUKMA Ke-22 Selangor 2026 dan Para SUKMA 2026, dengan tekad untuk melakar pencapaian lebih gemilang demi mengangkat martabat sukan negeri ke tahap yang lebih tinggi.

Sempena majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik pelancaran “Road To SUKMA dan Para SUKMA Ke-22 Selangor 2026” selain menyampaikan pengurniaan pelantikan ‘Chef De Mission (CDM)’, ‘Deputy Chef De Mission’ serta menyampaikan pelantikan kepada 24 pengurus pasukan dan rakan strategik kontinjen negeri.

Sementara itu, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan pengurniaan watikah pelantikan kepada pengurus-pengurus pasukan wanita.

MEMPERKASA PEMBANGUNAN SUKAN

Majlis tersebut menunjukkan komitmen berterusan negeri ini dalam memperkasa pembangunan sukan, memberikan motivasi dan keyakinan kepada atlet, jurulatih serta pengurusan kontinjen untuk terus berjuang habis-habisan membawa cabaran negeri dengan penuh semangat, disiplin, dan jiwa juang yang tinggi di pentas SUKMA 2026 yang akan datang nanti.

Wan Zikri berkata Perlis menyasarkan 20 pingat emas bagi menyahut titah Raja Muda Perlis yang menzahirkan hasrat agar kontinjen negeri itu mampu mencapai sasaran berkenaan di temasya SUKMA.

“Titah tersebut yang dizahirkan sempena Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024 merupakan satu amanah besar kepada seluruh warga sukan negeri untuk terus bekerja keras dan meletakkan sukan Perlis pada tahap yang lebih tinggi,” katanya. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.