KANGAR – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Logo Sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda yang bakal disambut pada 17 April depan.
Majlis tersebut dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagai sebahagian daripada persiapan sambutan 25 tahun pemerintahan baginda sebagai Raja Perlis.
Majlis yang berlangsung di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Batu 5, Jalan Kuala Perlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail.
Logo rasmi Sambutan Jubli Perak direka khas bagi memperingati tempoh pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin yang telah membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada negeri Perlis.
Reka bentuk logo ini menampilkan tujuh elemen utama yang melambangkan kebesaran, kestabilan, dan kesejahteraan negeri. Antara elemen tersebut adalah “Tengkolok Putra Julang Darjat” yang melambangkan kedaulatan dan warisan institusi Diraja Perlis.
Selain itu, tulisan Arab “جوبلى فيراق” (Jubli Perak) mencerminkan warisan Islam sebagai teras budaya Perlis, manakala angka “25” berwarna emas melambangkan kejayaan dan kestabilan negeri sepanjang pemerintahan baginda.
Lingkaran emas mengelilingi logo pula mengandungi teks rasmi: “SAMBUTAN JUBLI PERAK PEMERINTAHAN DYMM TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL, RAJA PERLIS,” yang melambangkan kesinambungan pemerintahan yang aman dan harmoni.
Nama baginda dalam tulisan Jawi yang disertakan dengan motif ‘Pelita’ atau ‘Siraj’ melambangkan cahaya kebijaksanaan dan kepimpinan Tuanku dalam memayungi negeri Perlis.
Turut dimasukkan ialah Jata Diraja Perlis sebagai simbol kebesaran negeri serta angka “2000-2025” sebagai garis masa pemerintahan gemilang baginda.
Logo ini bukan sekadar simbol sambutan, tetapi juga mencerminkan kepimpinan cemerlang Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam membawa Perlis ke arah kemajuan dan kesejahteraan rakyat.
Tarikh kemaskini: 3/7/2025