Raja Perlis: Merdeka Bukan Sekadar Bebas, Tetapi Matang Berfikir dan Bertanggungjawab

Raja Perlis Merdeka Bukan Sekadar Bebas, Tetapi Matang Berfikir dan Bertanggungjawab

KANGAR, 30 Ogos: Kemerdekaan sebenar bukan sekadar menikmati kebebasan, sebaliknya menuntut rakyat supaya mampu berfikir secara matang dan beretika serta menggunakan kebebasan dengan penuh tanggungjawab.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, generasi muda khususnya perlu terus menuntut ilmu, menguasai kemahiran baharu dan membina jati diri tanpa mengabaikan nilai agama serta budaya yang menjadi warisan bangsa.

“Saya percaya, ilmu tanpa akhlak tidak akan melahirkan insan sempurna, manakala kemajuan tanpa integriti tidak akan menjamin kesejahteraan yang berkekalan.

“Jadilah generasi berilmu, berkemahiran, berakhlak dan berintegriti serta bersedia menyumbang kepada kemajuan Perlis dan Malaysia,” titah baginda pada Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini.

Berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menyeru seluruh rakyat Perlis supaya menjadikan Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan sebagai pedoman dalam kehidupan bermasyarakat.

Baginda bertitah, perpaduan merupakan asas penting kepada keamanan, kestabilan dan kemajuan sesebuah negara, selain mengingatkan bahawa keamanan yang dinikmati rakyat hari ini bukan sesuatu yang hadir dengan sendirinya.

“Perpaduan merupakan kekuatan sesebuah bangsa. Daripada perpaduan lahir keamanan dan kestabilan, dan daripada keamanan serta kestabilan lahirlah kemajuan dan kesejahteraan.

“Keamanan dinikmati hari ini bukanlah sesuatu yang datang dengan sendirinya,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap kesetiaan, rasa hormat dan kasih sayang rakyat jelata yang menjadi antara kekuatan dalam memelihara keharmonian Perlis.

Tuanku Syed Sirajuddin mendoakan supaya Malaysia dan Perlis terus dikurniakan keamanan, kemakmuran, kestabilan serta kedaulatan yang berkekalan.

“Semoga rakyat negeri Perlis dikurniakan kesihatan yang baik, rezeki berkat, kehidupan sejahtera serta perpaduan yang utuh,” titah baginda.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.