Raja Perlis terima kunjungan sembah menghadap Menteri Kerja Raya

Oleh: Sholina Osman
5 MEI 2025

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima kunjungan sembah menghadap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Balai Menghadap Biru, Istana Arau.

Berkenan berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menteri Kerja Raya mempersembah maklumkan mengenai status terkini perancangan, pembinaan, penyelenggaraan, serta usaha menaik taraf infrastruktur yang dilaksanakan melibatkan kementerian beliau dan juga Jabatan Kerja Raya (JKR) di Negeri Perlis kepada Baginda berdua.

MERANGKUMI PENAMBAHBAIKAN PRASARANA

Taklimat beliau turut merangkumi penambahbaikan prasarana sedia ada demi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini.

Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Wira Ir. Roslan Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Ir. Datuk Sazali Harun serta Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Zainora Zainal.

Lawatan kerja Alexander ke Perlis ini merupakan sebahagian daripada usaha ‘turun padang’ bagi meninjau dan memantau kemajuan pelbagai projek pembangunan infrastruktur strategik yang sedang giat dilaksanakan supaya ianya sentiasa dipantau rapi dan disiapkan mengikut jadual tanpa kelewatan selaras dengan aspirasi MYJalan dan matlamat Sifar Projek Sakit 2025.

MENINJAU TIGA PROJEK

Persinggahan pertama beliau ialah di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi meninjau tiga projek pembangunan utama iaitu Masjid dan Pusat Islam; Dewan Besar, dan juga Pusat Pengajian Kejuruteraan.

Delegasi KKR turut mengadakan lawatan ke projek pembinaan jalan Kampung Chuping – Guar Musang – Panggas Besar sepanjang tiga kilometer selain meninjau projek Mercu Tanda Jubli Perak Tuanku Raja Perlis di Padang Besar yang menjadi simbol kesetiaan rakyat sempena 25 tahun pemerintahan baginda.

Dalam masa yang sama, aspek penyelenggaraan jalan sedia ada juga diberikan perhatian, antaranya melawat laluan FT226 Jalan Kaki Bukit – Wang Kelian untuk pembaikan berkala ‘pavements’.

Beliau juga mengadakan sesi Dialog Townhall bersama ahli-ahli Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Perlis. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content