Raja Perlis Titah Rakyat Perkukuh Usaha Pemeliharaan Alam Sekitar

2November 2025

Wang Kelian

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan agar rakyat negeri itu terus menerapkan budaya menyayangi alam sekitar dengan melibatkan diri secara aktif dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi sebagaimana digerakkan oleh Jabatan Perhutanan.

Baginda bertitah langkah tersebut penting bagi memperkukuh ekosistem dan biodiversiti negara demi menjamin kelestarian untuk generasi masa hadapan.

“Saya menyeru setiap daripada kita, terutama rakyat Perlis, untuk terlibat secara aktif dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan seperti dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan. Saya yakin jabatan ini akan terus cemerlang menggalas tanggungjawab mengurus khazanah hutan di Perlis selari dengan visinya menjadi peneraju terunggul dalam pengurusan hutan tropika secara lestari,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian ketika menyempurnakan penutup pertandingan mencerap dan merekod spesies burung, The Northernmost International Bird Race Wang Kelian 2025, di Arked Niaga Wang Kelian. Pertandingan edisi kedua itu berlangsung dari 30 Oktober hingga 2 November.

Baginda turut menzahirkan rasa bangga apabila inventori burung yang dijalankan Jabatan Perhutanan Perlis bersama Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) pada 2022 merekodkan 197 spesies burung di sepanjang Banjaran Nakawan dan 170 spesies di Wang Kelian. Menurut baginda, penganjuran pertandingan seperti ini membantu mengemas kini rekod kepelbagaian spesies burung dari semasa ke semasa.

“Dengan pelaksanaan yang baik, program ini dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran awam tentang peranan kepelbagaian spesies dalam ekosistem. Saya berharap penganjuran The Northernmost International Bird Race Wang Kelian dapat diteruskan pada masa hadapan untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke Perlis bagi menjalankan aktiviti pemerhatian burung,” titah baginda.

Baginda bertitah pertandingan itu kini semakin mendapat perhatian dan setanding dengan program pencerapan burung terkenal lain seperti Bukit Fraser BirdRace (Pahang), Taiping Bird Week (Perak), Wings of Kuala Kubu, Pesta Sayap (Selangor) serta Borneo Bird Fair (Sabah).

“Saya percaya melalui aktiviti ini, rakyat khususnya penduduk sekitar Wang Kelian dan Kaki Bukit akan menerima limpahan ekonomi secara tidak langsung. Justeru, saya menyeru semua pihak mengambil peluang ini dan mengembangkan potensi yang sekian lama tersimpan,” titah baginda.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan Perlis, Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata Wang Kelian dipilih sebagai lokasi pemerhatian burung utama kerana memiliki ekosistem hutan batu kapur yang menyokong kehadiran spesies tumbuhan serta sumber makanan unik, sekali gus menarik burung tertentu yang sukar ditemui di tempat lain.

Di samping itu, Pengerusi NEST, Sulaiman Salikan memaklumkan antara tiga hingga lima spesies baharu dikenal pasti melalui pertandingan tersebut, termasuk Black-backed Dwarf Kingfisher dan Rajawali.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.