5 Ogos 2025 | Kangar — ‘Seminar Women of Sunnah Perlis 2025’ telah berlangsung dengan jayanya sebagai platform berprestij yang memperkasa dan memperkaya rohani kira-kira 400 peserta dari dalam dan luar negeri, termasuk dari luar negara. Seminar ini bertujuan memperdalam pemahaman terhadap nilai-nilai Islam serta menghayati peranan wanita dalam masyarakat berpaksikan Sunnah.
Majlis berlangsung dalam suasana harmoni di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, dan disempurnakan pelancarannya oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Dr. Haifaa Younis, Pengasas dan Pengerusi Jannah Institute yang berpangkalan di Irvine, California, Amerika Syarikat.
Seminar ini merupakan anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Light Upon Light serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Bertemakan “Lelaki dan Wanita Adalah Auliya Antara Satu Sama Lain”, seminar mengetengahkan mesej kerjasama, sokongan, dan perkongsian rohani antara lelaki dan wanita berdasarkan prinsip al-Quran.
Antara inti utama seminar adalah dua sesi pengisian khas oleh Dr. Haifaa Younis, yang mengangkat inspirasi daripada kehidupan wanita-wanita agung dalam sejarah Islam, termasuk tokoh-tokoh wanita yang memainkan peranan besar dalam pembentukan masyarakat Muslim berasaskan akhlak dan ilmu.
Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian seminar tersebut, sekali gus memberi suntikan semangat kepada para peserta untuk terus meneladani nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.
Seminar ini turut menjadi wadah memperkukuh kefahaman Islam yang syumul dan meraikan peranan wanita sebagai penyumbang aktif kepada pembangunan masyarakat berteras keimanan dan ilmu.