KANGAR, 3 Julai – Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Lailatul Shahreen (SMKTLS) di Dewan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Padang Behor di sini.
Keberangkatan Baginda disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Pengetua sekolah, Lili Mariam Mohammad @ Mokhtar.
Dalam titah perutusan, Baginda menzahirkan bahawa majlis tersebut merupakan platform penting untuk menghargai kejayaan dan usaha gigih para murid, selain mencerminkan komitmen berterusan seluruh warga sekolah dalam membudayakan kecemerlangan pendidikan.
Menurut Baginda, penganugerahan yang diberikan bukan sekadar mengiktiraf pencapaian akademik, malah melambangkan kejayaan sekolah melahirkan murid yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Jadikanlah pengiktirafan ini sebagai pemangkin untuk terus menimba ilmu, memperkukuh sahsiah serta membina karakter unggul agar menjadi insan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
“Ingatlah bahawa kecemerlangan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi turut terserlah melalui pembinaan akhlak yang mulia, disiplin yang tinggi serta keazaman untuk terus berbakti,” titah Baginda.
Pada majlis itu, Baginda berkenan menyampaikan Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) kepada Muhammad Irfan Hadi Mohamad Yusri.
Turut menerima pengiktirafan ialah Nur Zulaikha Julaihi yang dinobatkan sebagai Ikon Akademik, Muhammad Afif Syafiq Shariffudin sebagai Ikon Kepimpinan dan Ikon Sukan, manakala Izz Damia Rizq Muhammad Faizal menerima Anugerah Ikon Koakademik.
Baginda turut menyampaikan Anugerah Pencapaian Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 kepada pelajar cemerlang. Seramai tujuh pelajar memperoleh 9A, enam pelajar mendapat 8A, sebelas pelajar memperoleh 7A manakala lima lagi menerima anugerah bagi kategori 6A.
Dalam pada itu, Pengetua sekolah memaklumkan SMKTLS terus mencatat prestasi membanggakan apabila mencapai kelulusan 100 peratus dalam SPM 2025 dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.19 berbanding 3.35 pada tahun sebelumnya.
Peningkatan sebanyak 0.16 mata itu sekali gus mengekalkan trend peningkatan GPS sekolah selama tiga tahun berturut-turut.
Selain akademik, sekolah berkenaan turut mencipta pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Seramai 16 murid berjaya menduduki peperiksaan DELF, iaitu pengiktirafan rasmi Kerajaan Perancis dalam penguasaan Bahasa Perancis, manakala Muhammad Aisar Burhanudin tersenarai dalam 10 calon terbaik kebangsaan bagi tahap A1.
Dalam bidang sukan, murid sekolah mewakili Perlis dalam acara tenis, golf, skuasy, renang, memanah tradisional dan lompat tali, termasuk meraih kejayaan dalam Hong Kong Rope Skipping Championship 2026 dan Andaman Championship di Satun, Thailand.
Pasukan bola sepak bawah 18 tahun sekolah turut muncul tempat ketiga peringkat negeri.
Dalam bidang inovasi pula, Pasukan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) sekolah meraih dua pingat emas menerusi penyertaan dalam Pi-ENVEX 2026 yang melibatkan peserta dari 11 negara serta International Invention, Innovation and Design Competition 2026.
Bidang kesenian turut menyerlah apabila Puteri Ainul Farisya Zuraimi muncul Johan Pertandingan Nyanyian GENTA SUARA 2026 Peringkat Negeri Perlis dan bakal mewakili negeri ke peringkat kebangsaan. Beliau turut dipilih mewakili Perlis dalam Pertandingan Tarian Sekolah-Sekolah Malaysia (Generasi MADANI) Peringkat Kebangsaan, manakala kumpulan nasyid sekolah, Sautul Mubin, muncul Johan Festival Nasyid Peringkat Zon Utara 2026.
Tuanku Raja Puan Muda Perlis menzahirkan harapan agar SMKTLS terus melakar kecemerlangan dan kekal menjadi institusi pendidikan unggul yang membanggakan negeri Perlis serta melahirkan generasi pewaris negara yang berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia