Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Istana Arau
8 JUN 2025
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Tengahari bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah bagi tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Bankuasi, Istana Arau.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan cucunda-cucunda Baginda turut menyerikan majlis, iaitu Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
BERKENAN MENUNAIKAN SOLAT
Terdahulu, Duli-Duli Tuanku turut berkenan menunaikan Solat Sunat Aidiladha di pekarangan Dataran Istiadat Istana Arau pada sebelah pagi.
Dalam kesempatan ini, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam, khususnya rakyat Negeri Perlis.
Baginda menzahirkan harapan agar hari yang mulia ini menjadi wadah untuk terus mempereratkan ukhuwah dalam kalangan ahli keluarga dan sahabat handai, serta memupuk kasih sayang dan semangat saling menghargai antara satu sama lain. – JM