KANGAR, 26 Jun- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah awal bagi menghadapi musim peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka membawa angin kencang serta hujan lebat.
Antara langkah pencegahan yang wajar diambil termasuklah memastikan struktur atap kediaman berada dalam keadaan kukuh dan diselenggara dengan baik.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengingatkan agar penduduk tidak melakukan penyambungan atap secara tidak selamat atau menggunakan bahan yang mudah tercabut ketika ribut.
Struktur sementara seperti khemah, kanopi, anjung tambahan dan wakaf ringan yang tidak kukuh pula disaran agar ditanggalkan lebih awal bagi mengelakkan risiko kerosakan serius mahupun kemalangan jiwa atau harta benda lain.
“Jangan tunggu saat akhir untuk bertindak. Utamakan keselamatan diri, keluarga serta kediaman masing-masing,” titah baginda.
Demikian titah baginda ketika menyantuni dan melawat beberapa rumah penduduk yang terjejas akibat ribut di sekitar kawasan Kangar, selain menyempurnakan penyampaian bantuan segera daripada MAIPs secara berperingkat kepada beberapa mangsa yang terlibat.
Dalam kejadian ribut yang berlaku pada 23 Jun lalu, sebanyak 30 buah rumah mengalami kerosakan dan dirujuk kepada pihak MAIPs serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dimana bantuan sedang disalurkan mengikut keperluan dan tahap kerosakan yang dikenal pasti.