Songkhla – Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menasihatkan rakyat Malaysia supaya meningkatkan tahap kewaspadaan dan menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke Pattani, Yala dan Narathiwat susulan insiden keselamatan di Wilayah Selatan Thailand baru-baru ini.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Encik Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata bahawa rakyat Malaysia di kawasan terjejas perlu mengelakkan lokasi berlakunya insiden keselamatan, demonstrasi, perhimpunan besar serta perjalanan pada waktu malam.
“Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa Thailand, antaranya termasuklah sebarang perintah berkurung, penutupan jalan raya dan pemeriksaan keselamatan. Sila ikuti pengumuman rasmi dan maklumkan jadual perjalanan kepada keluarga terdekat,” katanya.
Bagi mereka yang menggunakan kenderaan sendiri untuk memasuki Thailand, Encik Ahmad Fahmi menegaskan agar rakyat Malaysia membawa lesen memandu asal dalam bentuk fizikal dan tidak bergantung sepenuhnya kepada lesen digital (MyJPJ).
Dokumen penting lain seperti pendaftaran kenderaan dan insurans juga wajib dibawa bagi memudahkan pemeriksaan. Beliau turut mengingatkan pemandu dan penunggang agar mematuhi peraturan lalu lintas, antaranya termasuklah pemakaian tali pinggang atau topi keledar.
Menurut beliau, pihak berkuasa Thailand kini giat menguatkuasakan undang-undang jalan raya dan beberapa rakyat Malaysia telah pun dikenakan saman berkaitan dengan kesalahan lalu lintas dan dokumentasi. Sehubungan dengan itu, sebarang saman hendaklah dijelaskan melalui saluran rasmi dan resit disimpan sebagai rekod.
Pesanan tersebut dikongsikan oleh beliau bersempena dengan Program Kayuhan Malaysia Merdeka 2026 di Songkhla, yang turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Kredit Foto: Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.