KANGAR, 30 Ogos: Royal Perlis Celebration Golf 2026 bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi wadah memperkukuh silaturahim dan semangat kesukanan dalam kalangan komuniti golf dari seluruh negara.
MempelajariGeografi Dunia
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah dan Santapan Malam sempena kejohanan anjuran Kelab Golf Putra (KGP) Perlis itu di Elissa Hotel & Suites, di sini.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Presiden KGP Perlis.
Keberangkatan Duli-Duli Tuanku disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Noor Azman Abdul Rahman yang juga Naib Presiden 1 KGP Perlis serta Kapten Kelab, Idris Tan Sri Sheikh Ahmad.
Royal Perlis Celebration Golf 2026 yang dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis menghimpunkan 120 pemain golf dari seluruh negara.
Nazmi Sabu muncul Juara Keseluruhan kejohanan, manakala Mohd Shaiful Saedin menjuarai kategori Medal A dan Hassan Rejab bagi Medal B.
Kategori VIP pula dimenangi Leftenan Kolonel Abdullah Khai Saidi, sementara Leftenan Kolonel Zulkifli Ahmad muncul juara kategori Senior.
Tuanku Syed Sirajuddin berkenan mengurniakan hadiah kepada Juara Keseluruhan, manakala Tuanku Syed Faizuddin Putra menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori Medal A.
Mohd Fahimi Musa menduduki tempat kedua kategori Medal A, diikuti Shamsudin Mohamad di tempat ketiga.
Majlis turut diserikan dengan santapan malam bersama peserta dan tetamu jemputan dalam suasana penuh kemesraan, sekali gus mencerminkan semangat kesukanan serta hubungan erat dalam kalangan komuniti golf tanah air.
Terdahulu, Idris dalam ucapan aluannya berkata KGP Perlis merancang menganjurkan dua lagi kejohanan sebelum menutup tirai kalendar pertandingan tahun ini.
Kejohanan berkenaan ialah Piala Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) pada Oktober dan Piala Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis pada November.
Beliau berharap kedua-dua kejohanan itu mendapat sambutan baik daripada pemain dan komuniti golf.